Back
Next
title

Majlis Penyerahan Anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

 

 

 

"Dayang Anisah binti Mohd Salleh (kanan) menerima anak kunci rumah"

 

 

 

 

 

Pembinaan rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah khusus kepada saudara-saudara baru dan mereka yang daif dan tidak berkemampuan. Projek ini adalah merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Yayasan sebagai usahanya bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya.

Pembinaan rumah bantuan kepada saudara-saudara baru adalah bertujuan bagi memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki taraf kehidupan disamping dapat meneruskan dan menghayati kehidupan sebagai seorang Islam dengan sempurna dan dapat melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wata’ala dalam keadaan yang selesa dan aman.

Pada hari Rabu, 24 Rabiulawal 1431H bersamaan 10 Mac 2010M, diadakan Majlis Penyampaian Anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada dua saudara baru di Mukim Amo, Daerah Temburong iaitu Dayang Anisah binti Mohd Salleh / Achun @ Radoi Anak Achun dan Dayang Siti Aidah binti Abdullah @ Siti Aidah Anak Ekin.

 

 

 

 

 

"Dayang Siti Aidah binti Abdullah (kanan) menerima anak kunci rumah"

 

 

 

 

 

Tempoh pembinaan bagi kedua-dua buah rumah bantuan tersebut mengambil masa kira-kira 4 bulan yang mana masing-masing rumah mempunyai tiga buah bilik tidur, satu ruang tamu, bilik air dan dapur. Manakala jumlah kos pembinaan bagi setiap rumah adalah sebanyak B$45,000.00.

Sejak projek pembinaan rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini mula dilaksanakan pada tahun 1996, sebanyak 135 buah rumah telah dibina dan diserahkan diseluruh negara. 76 buah rumah adalah bagi saudara-saudara baru yang mana 33 buah daripadanya telah diserahkan bagi saudara-saudara baru di Daerah Temburong. Manakala 59 buah rumah adalah bagi mereka yang tidak berkemampuan (daif).

Hadir di majlis ini bagi menyampaikan anak kunci rumah kepada penerima tersebut ialah Yang Mulia Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis pada pagi ini adalah Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan dan Pegawai-Pegawai Kerajaan yang terlibat dalam menjayakan projek ini.

 

top