Back
Next
title

Majlis Sambutan ´Iduladha dan ´Ibadah Qurban Tahun 1430H/2009M

pic

 

 

"Tetamu kehormat mengagihkan daging qurban kepada salah
seorang penerima"

 

 

 

 

 

Pada petang Isnin, 12 Zulhijjah 1430 Hijrah bersamaan 30 November 2009 Masihi telah diadakan Majlis Sambutan ´Iduladha dan ´Ibadah Qurban Tahun 1430H/2009M yang telah dianjurkan oleh Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKPYSHHB) bertempat di Dewan Serbaguna Sekolah YSHHB.

 

Majlis ini adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh BKPYSHHB melalui Bahagian Keagamaan. Seramai 64 orang peserta yang terdiri daripda pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan YSHHB dan ahli-ahli keluarga telah menyertai ibadah qurban / aqiqah pada tahun ini dimana sebanyak tujuh (7) ekor kerbau, satu (1) ekor sapi dan sepuluh (10) ekor kambing telah disembelih bersempena ibadah qurban ini.

 

Dalam majlis tersebut, sumbangan kewangan Yayasan disampaikan kepada 4 buah badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB. Jumlah keseluruhan sumbangan adalah B$140,510.00 iaitu seperti berikut:

 

  1. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak B$50,000.00. Sumbangan ini adalah merupakan sumbangan tahunan YSHHB kepada Pusat berkenaan iaitu bagi tahun 2009. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam adalah sebuah badan bukan Kerajaan yang berfungsi menyediakan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum. YSHHB telah memberikan sumbangan tahunan sebanyak B$50,000.00 setahun kepada Pusat ini iaitu bermula pada tahun 2001 dimana bertujuan bagi memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatannya. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

  2.  

  3. Persatuan Bagi Pengurusan Autism Dalam Latihan, Pendidikan Dan Sumber (SMARTER) Brunei menerima sumbangan kewangan sebanyak B$50,000.00. Sumbangan dari YSHHB ini adalah bagi membantu membiayai pengurusan dan pengendalian kegiatan-kegiatan Persatuan SMARTER Brunei. Persatuan SMARTER Brunei ialah persatuan bagi sekumpulan ibu-bapa yang mempunyai anak yang menghidapi autisma. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman, Yang di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei.
  4.  

  5. Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) menerima sumbangan kewangan sebanyak B$27,510.00. Sumbangan ini adalah bagi membiayai sebahagian kos Pertemuan Sasterawan Nusantara XV yang akan diadakan di Bandar Seri Begawan pada 11 hingga 13 Disember 2009. Antara objektif perjumpaan ini diadakan adalah untuk mengetengahkan dan memperkenalkan karya-karya Muda Omar ´Ali Saifuddien sebagai penyair Islam Diraja Brunei dan juga karya-karya tokoh-tokoh utama sasterawan Nusantara lainnya, yang dapat dijadikan sukat-sukat dalam mencarukkan sasterawan Nusantara; dan untuk memberi peluang kepada penulis berkumpul, berinteraksi atau bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu semasa dalam bidang sastera, bahasa, budaya dan penulisan. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ketua 1 ASTERAWANI.
  6.  

  7. Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) menerima sumbangan kewangan sebanyak B$13,000.00 bagi membiayai sebahagian kos menganjurkan Seminar Serantau Sempena Sambutan Jubli Emas Perlembagaan Negeri Brunei 1959, selaras dengan penubuhan PESEBAR iaitu memberigakan sebarang peristiwa-peristiwa penting lagi bersejarah. Tajuk seminar ini ialah "Seminar Serantau Sempena Sambutan Jubli Emas Perlembagaan Bertulis 1959 Negara Brunei Darussalam" dan tujuannya diadakan selain mendatangkan ilmu pengetahuan, adalah sebagai satu cara untuk menonjolkan Perlembagaan Negeri Brunei 1959 kepada masyarakat umum tentang pentingnya perlembagaan. Hadir bagi menerima sumbangan ini ialah Yang Mulia Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ahli Jawatankuasa Tertinggi PESEBAR.

 

Sejurus kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian daging-daging qurban kepada wakil-wakil bagi pembahagian daging-daging qurban kepada golongan fakir miskin dan penyampaian daging-daging qurban kepada para peserta yang juga disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

 

Sejurus selesai penyampaian sumbangan kewangan YSHHB dan penyampaian daging-daging qurban kepada mereka yang berkenaan, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sumbangan Tabung Derma Khairat Pekerja YSHHB (TADEKHA) yang disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Rithaudin bin Haji Sabtu, Yang di-Pertua Badan Kebajikan Pekerja YSHHB kepada mereka-mereka yang berkenaan seperti berikut:

 

  1. DANA Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) menerima sumbangan sebanyak B$500.00. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud, Pengarah Urusan YSHHB selaku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

     

  2. Jawatankuasa Pemegang Amanah Pembinaan Masjid Kampong Manggis dan Madang menerima sumbangan sebanyak B$1,000.00. Sumbangan adalah untuk menampong sebahagian perbelanjaan bagi pembinaan Masjid Kampong Manggis dan Madang. Sumbangan diterima oleh Mejar (B) Pengiran Haji Idrus bin Pengiran Haji Mahmud, Ketua Kampong Manggis 1 & 2 selaku Bendahari Jawatankuasa Pemegang Amanah Pembinaan Masjid Kg. Manggis/Madang,

 

BKPYSHHB ditubuhkan pada tahun 2000, bertanggungjawab dalam menjaga dan mengambil berat kebajikan dan hal-ehwal ahli-ahlinya yang terdiri daripada pegawai, guru-guru dan kakitangan YSHHB. Tujuan penubuhannya adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara ahli-ahli di samping menanamkan sikap suka bantu-membantu dan bekerjasama di antara semua ahlinya. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan penglibatan ahli-ahlinya dalam aktiviti-aktiviti keagamaan, kebajikan dan sosial, sukan dan ekonomi.

 

Hadir di majlis penyampaian ini ialah Pengarah Urusan YSHHB, Penolong-Penolong Pengarah Urusan YSHHB, para jemputan khas, pegawai dan kakitangan YSHHB serta guru-guru dan kakitangan Sekolah YSHHB.

 

top