
"Pengarah Urusan Yayasan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pemangku Pengarah Penjara (kiri)"
Selaras dengan wawasan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat, pada petang Khamis, 27 Safar 1434 bersamaan 10 Januari 2013, Yayasan menyampaikan beberapa sumbangan seperti berikut:
1. Program Peningkatan Akademik Penghuni Penjara
Sumbangan berjumlah sebanyak B$5,040.00 adalah bagi menaja Program Peningkatan Akademik Penghuni Penjara yang dicadangkan bermula dari bulan Mac 2013 hingga September 2014. Pada peringkat ini, seramai 15 orang yang terpilih di kalangan banduan tempatan di Penjara Maraburong mengikuti program ini. Matapelajaran (peringkat 'O' Level) yang termasuk dalam program tersebut ialah Bahasa Melayu, Pengetahuan Ugama Islam, Sastera Melayu dan Lukisan. Dengan memperolehi sekurang-kurangnya 4 'O' Level, penghuni penjara yang terlibat akan memperolehi keyakinan diri untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat seterusnya atau menambahkan lagi kelulusan mereka apabila bebas daripada penjara nanti.
Program ini berhasrat untuk membentuk banduan tempatan dengan kesedaran pentingnya ilmu dalam kehidupan disamping menjadi warga yang berguna dan bertanggungjawab kelak.
Menerima sumbangan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Zainal bin Haji Ismail, Pemangku Pengarah Penjara, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
2. Kejohanan Sepaktakraw Regu Kebangsaan 2013
Sumbangan kewangan sebanyak B$5,000.00 berupa tajaan diberikan kepada Persatuan Sepaktakraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU) iaitu bagi mengadakan Kejohanan Sepaktakraw Regu Kebangsaan Piala Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 2013. Kejohanan yang dijadualkan bermula Februari 2013 ini antara lain bertujuan bagi menyatupadukan di kalangan pemain-pemain sepaktakraw untuk melahirkan belia-belia yang mempunyai bakat dan potensi disamping dijadikan sebagai projek tahunan sempena menyambut Hari Ulang Tahun Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Hadir bagi menerima sumbangan ini ialah Yang Mulia Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran Dato Seri Laila Jasa Haji Abas, Presiden PESTABARU.
3. Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran
Salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan adalah memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah. Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban yang ditanggung dan dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
Pada majlis ini, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah B$1,800.00 kepada 2 buah keluarga yang terdiri daripada 6 orang ahli keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah pada 25 Disember 2012 di Kampong Sungai Hanching seperti keterangan berikut:
- Dayang Hajah Norminah binti Haji Mahali
- Awang Haji Khairuni bin Haji Mahali
4. Sebahagian masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara
Sumbangan ini adalah merupakan salah satu usaha Yayasan bagi mentakmirkan masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya dalam mempertingkatkan syiar Islam di negara ini.
Sebanyak 44 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul bagi tahun 1434H/2013M. Jumlah sumbangan kewangan yang diberikan keseluruhannya ialah sebanyak B$27,400.00. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 buah masjid di Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan berjumlah B$10,600.00; 17 buah masjid di Daerah Tutong menerima sumbangan berjumlah B$10,600.00; 4 buah masjid di Daerah Belait menerima sumbangan berjumlah B$2,300.00; dan 7 buah masjid di Daerah Temburong menerima sumbangan B$3,900.00. Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.
Kesemua sumbangan Yayasan pada petang ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis ini ialah Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






