
Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan, pada hari Khamis, 8 Rabiulawal 1438H bersamaan 8 Disember 2016M, Yayasan menyampaikan sumbangan bantuan peralatan dan keperluan persekolahan kepada pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Sumbangan dalam bentuk kupon bagi pembelian buku-buku dan peralatan sekolah dan buku-buku tulis (exercise books) adalah merupakan pemedulian dan sokongan Yayasan dalam memeduli hal-ehwal pendidikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini adalah dihasratkan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka, lebih-lebih lagi pada ketika ini bagi menyambut penggal awal persekolahan tahun 2017.
Majlis pada hari ini adalah bagi menyampaikan sumbangan bantuan pembelian peralatan persekolahan dalam bentuk kupon yang bernilai B$60.00 BERSERTA buku-buku tulis (cetakan Yayasan) sebanyak 20 buah bagi setiap pelajar.
Seramai 409 orang pelajar dari 127 buah keluarga dari seluruh negara yang kurang berkemampuan menerima sumbangan tersebut. Jumlah keseluruhan sumbangan yang akan disampaikan pada hari ini berjumlah B$33,388.00.
Sumbangan ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Hadir menerima sumbangan tersebut ialah para ibu-bapa / penjaga.
Adalah diharapkan sumbangan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar berkenaan dan memberi dorongan kepada mereka untuk meneruskan serta mempertingkatkan pencapaian pelajaran masing-masing. Projek seumpama ini juga diharapkan supaya akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagi sama-sama memeduli kebajikan mereka yang kurang bernasib baik dan sangat-sangat memerlukan.






