
Buat pertama kalinya pada tahun ini Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengendalikan program dikenali dengan "Breakfast for School". Sebagai projek rintis (pilot project) yang baru dimulakan pada tahun ini, seramai 180 orang pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan telah dikenal pasti daripada empat buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara untuk dipilih bagi mengikuti program ini. Mereka terdiri daripada 100 orang pelajar dari Sekolah Menengah Awang Semaun, 50 orang pelajar dari Sekolah Menengah Masin, 20 orang pelajar dari Sekolah Rendah Lumapas dan 10 orang pelajar dari Sekolah Rendah Junjungan.
Program ini dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan. Program ini disokong oleh dua buah syarikat yang menaja makanan (sarapan pagi) iaitu Royal Brunei Catering Sdn. Bhd. yang membekalkan hidangan sup (soup or soup of stew) dan Gardenia Food Industries Sdn. Bhd. yang membekalkan roti dan bun (bread or buns or bread rolls or baguettes). Program ini juga disokong oleh Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam (Four Wheel Drive Association Brunei Darussalam) dan ahli-ahlinya yang akan secara sukarela mengambil dan menghantar makanan (sarapan pagi) daripada pihak pembekal kepada sekolah-sekolah yang telah dikenalpasti.
Melalui program "Breakfast for School", para pelajar yang terlibat dari keempat-empat buah sekolah yang berkenaan menerima sarapan pagi secara percuma pada setiap hari Selasa dan Sabtu pada setiap minggu bermula pada 19 Januari 2016. Sarapan pagi ini mula dihidang pada jam 6.45 pagi pada hari-hari tersebut. Program ini akan berterusan dan berakhir sehingga 29 Oktober 2016 bagi Sekolah Rendah dan pada 22 November 2016 bagi Sekolah Menengah.
Yayasan pada hari Selasa, 15 Safar 1438 bersamaan 15 November 2016 mengadakan Majlis Penghargaan kepada pihak-pihak yang telah memberikan sokongan kepada Yayasan dalam menjayakan Program "Breakfast for School" 2016 bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan.
Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awangku Haji Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa, Penolong Pengarah Urusan Yayasan.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat dan disampaikan kepada
• Royal Brunei Catering Sdn. Bhd.
diterima oleh Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Mat Salleh,
Pemangku Penolong Pengurus Am (Acting General Manager)
Royal Brunei Catering Sdn Bhd;
• Gardenia Food Industries Sdn. Bhd.
diterima oleh Dayang Zarina binti Tuah,
wakil Gardenia Food Industries Sdn Bhd;
• Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam
diterima oleh Awang Haji Ibrahim bin Haji Damit,
Yang Dipertua Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam.






