Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Pada hari Jumaat, 6 Muharram 1438 Hijrah bersamaan 7 Oktober 2016, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan beberapa sumbangan seperti berikut:

1. Penduduk yang terlibat dalam Kejadian Kebakaran

Yayasan dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Pada majlis ini, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah B$3,450.00 kepada Awang Bolariffin bin Abdul Ghani/Bolghanikan yang mempunyai sembilan ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampong Lurong Dalam pada 5 Oktober 2016.

 

Sebagai sokongan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dalam mengendalikan program-program keilmuan dan kemasyarakatan, Yayasan memberikan sumbangan kepada dua buah NGOs seperti berikut:

2. Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI)

Yayasan memberikan sumbangan kewangan kepada Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) bagi menaja sebahagian perbelanjaan mengadakan Pertemuan Sasterawani Brunei (PSB) Ke-VI anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pertemuan tahun ini akan diadakan pada November ini dan bertemakan "Semarak Sastera Pada Era Kebawah Duli" yang memfokuskan perbincangan mengenai perkembangan karya-karya sastera dan para penulis tanah air pada zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dari tahun 1968 hingga sekarang. Tema ini dipilih sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-70 tahun.

Tujuan PSB Ke-VI ini diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada penulis-penulis Brunei berkumpul, berinteraksi dan bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu semasa dalam bidang sastera, bahasa, budaya dan penulisan, serta meningkatkan hubungan dan kerjasama antara sesama penulis.

Sumbangan ini diterima oleh Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Ketua 1 ASTERAWANI.

3. Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSW)

Yayasan memberikan sumbangan kewangan kepada Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam bagi menaja sebahagian perbelanjaan untuk menganjurkan Persidangan Wanita Serantau 2016: "Keperibadian Muslimah Misali Paksi Kecemerlangan Ummah" yang dirancangkan untuk diadakan pada pertengahan bulan Oktober ini.

Persidangan ini bertujuan bagi membolehkan para peserta mempertingkatkan pengetahuan dan mentauladani serta menghayati keperibadian muslimah sejati dan misali ke arah kecemerlangan ummah dan negara di masa hadapan. Persidangan ini nanti akan mendatangkan penceramah-penceramah daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan juga Brunei Darussalam.

Sumbangan ini diterima oleh Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaludin, Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam.

 

Sumbangan-sumbangan daripada Yayasan ini disampaikan oleh Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Titah dan Sabda
Pelan Strategik 2020 2025
Majalah Wadah
Dana Pengiran Muda Mahkota al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim
Tender Documents
Sultan Omar Ali Saifuddien Memorial Lecture
Facebook Page rasmi YSHHB

 


 

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086