Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengenalkan pelbagai program bagi pembangunan kapasiti manusia untuk merealisasikan Wawasan 2035 ke arah rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi dan kehidupan rakyat berkualiti tinggi.

Dengan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah melalui Yayasan Baginda juga turut mengendalikan beberapa program pembangunan kapasiti manusia bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahunan yang seterusnya akan berperanan terhadap kemajuan dan pembangunan Negara seperti Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan biasiswa yang berprestij dan ia dianugerahkan kepada penuntut-penuntut yang telah dikenalpasti oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut yang cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang ke peringkat ijazah atau yang sebanding dengannya di institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di luar negara yang dibenarkan oleh Yayasan dan diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Tujuan penyediaan biasiswa "Sultan's Scholar" adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang Ugama, Raja dan Negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penganugerahan biasiswa "Sultan's Scholar" bermula pada tahun 2006 iaitu bagi sesi pengajian tahun 2006/2007. Sehingga tahun 2015, seramai 38 orang pelajar telah menerima anugerah ini.

Bermula pada tahun 2013, Yayasan telah memperluaskan skim biasiswa "Sultan's Scholar" untuk skim meninggikan tahap pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Sehingga tahun 2015, seramai 3 orang menerima biasiswa bagi pelanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dan seorang lagi menerima biasiswa bagi meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana.

Majlis Penganugerahan Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Sesi Pengajian 2016/2017 telah diadakan pada 22 Zulhijjah 1437H bersamaan 22 September 2016M bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini. Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

Pada tahun ini (tahun 2016), seramai empat orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2016/2017 manakala dua orang penuntut menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi meninggikan tahap pengajian. Mereka ialah Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah, Dayang Hajah Izzatul Faizah binti Dr Haji Mohamad, Awang Muhamad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee, Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin, Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatinah binti Haji Alliasim dan Awang Tan Zong Hao. Mereka ini akan meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing di universiti-universiti yang terkemuka di United Kingdom dan Mesir.

Empat orang penuntut yang menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2016/2017 adalah:

Dayang Kadrina Abdul Latif binti Abdullah sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di Cardiff Sixth Form College, Cardiff, United Kingdom. Melalui biasiswa "Sultan's Scholar" ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Biomedical Sciences' di Imperial College London, United Kingdom.

Dayang Hajah Izzatul Faizah binti Dr Haji Mohamad juga sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di Cardiff Sixth Form College, Cardiff, United Kingdom. Melalui biasiswa "Sultan's Scholar" ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Undang-Undang 'Law' di London School of Economics & Political Science, United Kingdom.

Awang Muhamad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee adalah lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dan melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Biomedical Engineering' di University College London, United Kingdom.

Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin adalah lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan telah dianugerahkan Biasiswa Kerajaan bagi mengikuti pengajian Diploma 'Aliyah Qiraat di penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (sesi pengajian 2013-2016). Melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Mahad Qiraat, Al Azhar, Shoubra, Mesir.

Dua orang penuntut yang menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi meninggikan tahap pengajian adalah :

Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatinah binti Haji Alliasim telah menerima Anugerah Baisiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 8 Zulkaedah 1434H bersamaan 14 September 2013M dan lulus dengan memperolehi B.Sc (Hons) Second Class Upper in Biomedical Science di University College London, United Kingdom. Pada tahun ini, Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatinah menerima biasiswa bagi meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang 'Global Givernance and Ethnics (Political Science) di University College London, United Kingdom.

Awang Tan Zong Hao sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia bagi meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di Abingdon School, Oxfordshire, United Kingdom. Beliau seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Warwick, United Kingdom dan telah lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama (First Class with Honours) dalam jurusan Integrated Master Degree in Civil Engineering. Pada penyampaian Anugerah Baisiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah tahun ini, Awang Tan Zong Hao menerima biasiswa bagi meninggikan tahap pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang 'Civil Engineering' di University of Oxford, United Kingdom.

Aturcara Majlis Penganugerahan biasiswa "Sultan's Scholar" dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan menyempurnakan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2016/2017 kepada keenam orang penerima.

Setelah penyempurnaan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar", bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar ramai dan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" dan para ibu-bapa mereka serta para jemputan.

Turut hadir di Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Setiausaha-Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja (Working Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan, pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai kanan Yayasan, Pengetua-Pengetua dan sebahagian penuntut dari institusi-institusi tingkatan enam diseluruh negara.

Titah dan Sabda
Pelan Strategik 2020 2025
Majalah Wadah
Dana Pengiran Muda Mahkota al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim
Tender Documents
Sultan Omar Ali Saifuddien Memorial Lecture
Facebook Page rasmi YSHHB

 


 

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086