Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah sekali lagi menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Sabtu, 25 Syawal 1437H bersamaan 30 Julai 2016M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis ini berserta ahli-ahli Kerabat Diraja.

Majlis seumpama ini adalah merupakan kali ketiga belas dianjurkan oleh Yayasan dimana ia telah mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Anjuran Yayasan ini mengetengahkan unsur-unsur kemasyarakatan dimana para peserta di majlis ini adalah terdiri daripada kelompok-kelompok masyarakat yang telah dikenalpasti yang berkepentingan dalam menjana kesejahteraan bersama.

Untuk Majlis tahun ini, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan mengetengahkan golongan belia sebagai peserta, iaitu selaras dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32 pada tahun ini iaitu 'Generasi Berwawasan'. Golongan belia yang diketengahkan ini adalah terdiri daripada gabungan para profesional muda iaitu kalangan anak-anak tempatan yang menjawat jawatan di peringkat pertengahan hingga keatas di sektor kerajaan dan swasta, dan juga para usahawan belia (young entrepreneurs) termasuk para graduan institusi pengajian tinggi yang mengikuti kursus-kursus yang berkaitan dengan bidang keusahawanan dan lepasan graduan yang baru menceburkan diri dalam bidang perusahaan melalui skim-skim yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta.

Para profesional muda diharapkan sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara yang bakal memikul peranan dan tanggungjawab dalam melaksanakan dasar untuk menjana pembangunan negara. Para usahawan belia pula memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada perkembangan sosio-ekonomi negara.

Adapun tujuan menjadikan golongan belia yang terdiri daripada para profesional muda dan para usahawan belia (young entrepreneurs) sebagai peserta tahun ini adalah untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan pentingnya tanggungjawab dan peranan mereka untuk meningkatkan jati diri menjadi individu yang berjasa, berkualiti, berdikari dan mampu menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi bangsa dan Negara dalam menerajui kemajuan bangsa dan negara bagi mencapai Wawasan Negara 2035.

Disamping itu juga, ia merupakan manifestasi keprihatinan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap sumbangan dan kejayaan mereka dalam bidang-bidang tertentu yang dapat memberikan semangat dan motivasi kepada mereka untuk meningkatkan usaha bagi meraih kemajuan dan kejayaan di masa hadapan.

Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Acara kemuncak Majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kemeriahan majlis ini diserikan lagi dengan persembahan gabungan para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (yang terdiri daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak, murid-murid Sekolah Rendah dan penuntut-penuntut Sekolah Menengah) dengan tema 'Generasi Berwawasan'.

Saat yang ditunggu-tunggu oleh para peserta ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam untuk menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir. Disamping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.

Semasa aturcara junjung ziarah dan beramah mesra, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta ahli-ahli Kerabat Diraja dijunjung menyaksikan pameran yang disertai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dan agensi-agensi yang terlibat dalam memberikan bantuan dan sokongan kepada para pengusaha muda tempatan seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Belia dan Sukan, dan Pusat Pembangunan Belia dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Darussalam Enterprise (DARe); LiveWIRE; Persatuan Usahawan Muda Brunei 'Youth Entrepreneurs Association Brunei (YEAB)'; 'Muslimah Entrepreneurship' dan juga para pengusaha-pengusaha belia tempatan. Disamping itu, institusi-institusi pengajian tinggi yang menyediakan kursus-kursus yang berkaitan dengan bidang keusahawanan juga ikut serta dalam pameran ini seperti Universiti Brunei Darussalam dan IBTE Bussiness Campus.

Turut hadir dalam Majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Pegawai-Pegawai Kerajaan dan swasta yang selama ini terlibat dalam menjayakan projek dan aktiviti Yayasan.

Titah dan Sabda
Pelan Strategik 2020 2025
Majalah Wadah
Dana Pengiran Muda Mahkota al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim
Tender Documents
Sultan Omar Ali Saifuddien Memorial Lecture
Facebook Page rasmi YSHHB

 


 

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086