
Pada hari Jumaat, 18 Ramadan 1437H bersamaan 24 Jun 2016M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengadakan lawatan kerja yang merupakan projek amal sempena bulan Ramadan di Daerah Brunei dan Muara keseluruhannya berjumlah B$42,566.76 kepada 32 buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan di beberapa buah kampong di Daerah Brunei dan Muara dengan mengendalikan pengagihan sumbangan berbentuk kewangan, barang keperluan asasi dan makanan.
Projek amal menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan ini bertujuan bagi membantu keluarga ini dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna. Bantuan ini juga dihasratkan dalam menyediakan keperluan menjelang hari raya nanti.
Dalam kesempatan ini juga, Yayasan turut memberikan sumbangan peralatan keperluan pesakit khusus untuk sebahagian penerima yang memerlukan; bantuan modal perusahaan untuk memulakan perniagaan kepada sebahagian keluarga bagi tujuan untuk meningkatkan taraf kehidupan keluarga; dan juga bantuan tambahan bilik aras bawah bagi penerima yang memerlukan (pesakit).
Projek pada hari ini juga dikendalikan dengan kerjasama rakan strategik Yayasan iaitu Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam (4WD NBD) dalam menyediakan pengangkutan.
Rombongan lawatan kerja Projek Amal Sempena Ramadan ini diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Projek seumpama ini telah bermula di Daerah Temburong pada 15 Jun lalu dan Daerah Belait pada 21 Jun lalu. Daerah Tutong juga akan dilaksanakan semasa bulan Ramadan ini.
Turut serta dalam rombongan ini ialah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan; pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.






