
Pada hari Selasa, 15 Ramadan 1437H bersamaan 21 Jun 2016M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengadakan lawatan kerja yang merupakan projek amal sempena bulan Ramadan di Daerah Belait keseluruhannya berjumlah B$34,250.00 kepada Masjid Kampong Sungai Teraban dan juga 32 buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan di beberapa buah kampong di Daerah Belait.
Rombongan Yayasan terlebih dahulu menyampaikan sumbangan berupa pembersih vakum (vacuum cleaner) dan pembersih jet air (water jet cleaner) ke Masjid Kampong Sungai Teraban yang diterima oleh Imam Haji Omarali bin Haji Husain.
Seterusnya, lawatan kerja diteruskan dengan mengendalikan pengagihan sumbangan berbentuk kewangan, barang keperluan asasi dan makanan kepada 32 buah keluarga tersebut. Mereka ini telah dikenalpasti hasil daripada kaji selidik yang telah dijalankan sebelum ini oleh Yayasan dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Projek amal menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan ini bertujuan bagi membantu keluarga ini dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna. Bantuan ini juga dihasratkan dalam menyediakan keperluan menjelang hari raya nanti.
Projek pada hari ini juga dikendalikan dengan kerjasama rakan strategik Yayasan iaitu Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam (4WD NBD) dalam menyediakan pengangkutan.
Rombongan lawatan kerja Projek Amal Sempena Ramadan ini diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Projek seumpama ini telah bermula di Daerah Temburong pada 15 Jun lalu dan akan dilaratkan ke Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong yang akan dilaksanakan semasa bulan Ramadan ini.
Turut serta dalam rombongan ini ialah Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan; Awang Haji Haris bin Othman, Pegawai Daerah Belait; Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib, Penolong Pegawai Daerah Belait; Awang Mohd Mersidi bin Haji Mohd Shara, Ketua Kampong Sungai Teraban; pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.






