
Adalah menjadi satu kelaziman bagi mana-mana pihak kerajaan, sektor swasta, persatuan dan orang perseorangan di negara ini mengadakan majlis-majlis keugamaan sempena bulan Ramadan iaitu bagi menyemarakkan lagi bulan yang penuh keberkatan ini.
Pada hari Isnin, 14 Ramadan 1437H bersamaan 20 Jun 2016M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan yang juga merupakan salah satu aktiviti tahunan Yayasan.
Berangkat di majlis ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan 30 juzuk Al-Quran oleh pembaca-pembaca terdiri dari mualim dan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB). Ini diikuti dengan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Awang Mohd Hashim bin Haji Abdullah, mualim ITQSHHB dan Majlis Bertahlil dipimpin oleh Awang Haji Khairul Manan bin Haji Hawafi, mualim ITQSHHB.
Doa Khatam dan Tahlil pula dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie, Mahkamah Syariah dan seterusnya diselajurkan dengan majlis berbuka puasa. Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.
Juga hadir dimajlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Timbalan Pengerusi 1 Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Timbalan Pengerusi 2 Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






