
Pada hari Sabtu, 5 Zulhijjah 1436 Hijrah bersamaan 19 September 2015 Masihi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2015/2016 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan.
Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan yang juga telah berlangung hari ini bertempat di Istana Nurul Iman.
Seramai 2 orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 1436H/2015M iaitu bagi sesi pengajian 2015/2016 ini. Mereka ini ialah:
• Dayang Rasyiqah Azimah binti Muhammad Nuraiziz adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian ke peringkat serjana dalam jurusan 'Natural Sciences' di University College London, United Kingdom.
dan
• Dayang Muniatussafiah binti Haji Johar adalah lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan telah dianugerahkan Biasiswa Kerajaan bagi mengikuti pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran & Qiraat di Darul Quran. JAKIM, Malaysia (sesi pengajian 2012-2015). Melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat di Mahad Qiraat, Shoubra, Al Azhar, Mesir.
Hadir selaku tetamu kehormat dimajlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Ini diikuti dengan acara menandatangani perjanjian biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi kelima-lima penerima anugerah biasiswa tersebut. Para penerima anugerah biasiswa akan menandatangani perjanjian tersebut bersama dengan dua orang penjamin yang terdiri dari ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat. Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan bersama dengan Yang Mulia Dayang Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa, Penolong Pengarah Urusan Yayasan dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.
Bermula pada tahun 2013, Yayasan telah memperluaskan Skim Biasiswa Sultan's Scholar untuk skim meninggi tahap pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah.

Majlis kemudian diteruskan dengan Majlis Menandatangani Perjanjian antara pihak Yayasan dengan seorang penuntut biasiswa "Sultan's Scholar" yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Serjana. Penuntut tersebut ialah Dayang Liyana Bazilah binti Haji Jamain yang telah menerima anugerah Sultan's Scholar pada tahun 2012 dengan mengambil jurusan 'Mathematics' di University College London, United Kingdom. Melalui Skim ini, beliau akan meneruskan pengajian peringkat Serjana dalam jurusan 'Comparative Economics and Policy' juga di University College London, United Kingdom.
Sehingga tahun 2014, seramai 3 orang penerima biasiswa "Sultan's Scholar" yang telah menamatkan pengajian di Peringkat Sarjana telah melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di bawah Skim Meninggi Tahap Pengajian.
Seterusnya, Dayang Liyana Bazilah binti Haji Jamain juga turut menerima insentif daripada Yayasan kerana telah mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian di peringkat ijazah pertama dengan mendapat Kepujian Kelas Pertama. Majlis penyampaian tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi penerima-penerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam pada akhir bulan September ini. Bacaan doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid.
Turut hadir di majlis ini ialah sebahagian Timbalan-Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja (Working Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang Ugama, Raja dan Negara.






