
Alhamdulillah, dengan limpah kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah sekali lagi menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Rabu, 19 Syawal 1436H bersamaan 5 Ogos 2015M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis ini berserta ahli-ahli Kerabat Diraja.
Majlis seumpama ini adalah merupakan kali kedua belas dianjurkan oleh Yayasan dimana ianya mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Anjuran Yayasan ini mengetengahkan unsur-unsur kemasyarakatan dimana para peserta di majlis ini adalah terdiri daripada kelompok-kelompok yang telah dikenalpasti yang berkepentingan dalam menjana kesejahteraan bersama.
Untuk Majlis tahun ini, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan mengetengahkan orang-orang kelainan upaya (OKU) berserta pengiring / pembantu mereka masing-masing dan ahli-ahli NGOs yang memberikan khidmat bantuan, bimbingan dan latihan kepada golongan OKU.
Adapun tujuan menjadikan golongan OKU sebagai peserta tahun ini adalah untuk mengalih pandangan masyarakat umum terhadap kemampuan OKU iaitu bukan sebagai golongan yang kurang upaya tetapi mereka adalah golongan orang kelainan upaya yang patut diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran yang sewajarnya supaya menjadi individu yang berjaya dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. Majlis ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman kepada golongan OKU kepada aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan pentingnya tanggungjawab dan peranan semua golongan masyarakat termasuk golongan OKU untuk meningkatkan jati diri menjadi individu yang berdikari dan mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
Disamping itu, ia juga merupakan manifestasi keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU dan sebagai penghargaan terhadap pencapaian dan kejayaan sebahagian OKU dalam bidang-bidang tertentu yang setentunya dapat memberikan semangat dan motivasi kepada sebahagian OKU lain untuk meraih kejayaan yang sama di masa hadapan.
Turut sama sebagai peserta pada tahun ini adalah sebahagian ahli sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang terlibat aktif menyumbang khidmat bakti mereka membantu melaksanakan program-program amal dan pembangunan sosial yang diungkayahkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Acara kemuncak Majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya dijunjung untuk mengurniakan sijil-sijil penghargaan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada sebahagian sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang memeduli kebajikan golongan OKU di negara ini iaitu dengan memberikan khidmat bantuan, bimbingan dan latihan kepada golongan OKU.

Seramai 6 orang sukarelawan Yayasan yang bergiat aktif dalam menyumbangkan khidmat bakti melaksanakan projek-projek amal yang diungkayahkan oleh Yayasan menerima sijil penghargaan mereka. Penyampaian sijil penghargaan ini adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun kesepuluh Sukarelwan Yayasan ditubuhkan. Bagi menghargai sumbangan masa dan tenaga serta buah fikiran mereka yang berterusan dan lebih-lebih lagi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang insan yang pemedulian terhadap masyarakat sekeliling demi berbakti kepada negara tercinta, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memberikan penghargaan kepada:
1. Yang Mulia Awang Ali Yusri bin Haji Abd Ghafor;
2. Yang Mulia Dr. Yabit bin Alas;
3. Yang Mulia Kapt (B) Haji Mohd Aisa bin Haji Subohi;
4. Yang Mulia Madam Juliana Chang Guan Fong & Mr. Chong Yap Jun;
5. Yang Mulia Dayang Rafizah binti Mat Serudin; dan
6. Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam.

Selain itu, sebanyak 9 badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang memeduli kebajikan golongan OKU yang menerima sijil penghargaan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sijil-sijil penghargaan tersebut diterima oleh Yang Di-Pertua / Presiden / Pengerusi masing-masing bagi mewakili badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan, iaitu:
1. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam
Yang Mulia Dato Paduka Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab – Pemegang Amanah Kanan
2. SMARTER Brunei
Yang Mulia Malai Haji Abdullah bin Malai Othman – Yang Di-Pertua
3. Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA)
Yang Mulia Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin – Presiden
4. Persatuan Orang-Orang Cacat Berkerusi Roda dan Orang-Orang Cacat Anggota (PAPDA)
Yang Mulia Dato Paduka Dr Haji Abd Latif bin Haji Ibrahim – Pengerusi
5. Special Olympics Brunei Darussalam (SOBD)
Yang Mulia Dayang Wati binti Bujang - Setiausaha
6. Brunei Darussalam National Association of the Blind (BDNAB)
Yang Mulia Awang Muhammad Jamary bin Danggat - Presiden
7. Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP)
Yang Mulia Awang Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin – Yang Di-Pertua
8. Learning Ladders Society
Yang Mulia Dr. Sharina binti Yunus - Presiden
9. Persatuan Sindrom Down
Yang Mulia Dayang Siti Zaliha binti Haji Abu Salim – Yang Di-Pertua
Sebelum itu, sebuah video yang bertajuk "Projek-Projek Amal Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah" juga ditayangkan dalam Majlis ini. Video tersebut antara lain memaparkan kejayaan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam melaksanakan projek-projek di bawah Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan dengan adanya komitmen yang tinggi dan sumbangan yang berterusan dari para Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari awal ia ditubuhkan.
Diantara Projek-Projek Amal Kebajikan yang dikendalikan di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah melalui Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan adalah
1. Program Intervention Pendidikan (PIP);
2. Projek Bantuan Untuk Meningkatkan Sosio Ekonomi Ke Arah Membasmi Kemiskinan (PBSE);
3. Projek Amal Memeduli Warga Emas dan Keluarga Yang Memerlukan Bantuan (PAWEK); dan
4. Projek Bantuan Kecemasan dan Kemasyarakatan (PBKK).

Kemeriahan majlis ini diserikan lagi dengan persembahan gabungan pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Taman Asuhan Kanak-Kanak, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah) serta persembahan daripada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan juga SMARTER Brunei.
Saat yang ditunggu-tunggu oleh para peserta ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam untuk menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.
Yayasan dengan kerjasama beberapa agensi telah menyediakan ruang pameran yang disertai oleh 12 buah agensi iaitu 3 buah Jabatan Kerajaan (Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan; Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (CDC), Kementerian Kesihatan) dan 9 NGOs (seperti tersenarai di atas).

Disamping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.
Dalam menangani kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga terlibat sama dalam memberikan sumbangan, bantuan dan sokongan kepada mereka melalui persatuan-persatuan NGOs dan pihak-pihak yang berkenaan dalam mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan OKU di negara ini.
Turut hadir dalam Majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Pegawai-Pegawai Kerajaan dan swasta yang selama ini terlibat dalam menjayakan projek dan aktiviti Yayasan.






