
Pembinaan rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Yayasan sebagai usahanya bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya.Rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan adalah dikhususkan kepada saudara-saudara baru dan mereka yang daif dan tidak berkemampuan mendirikan rumah sendiri. Rumah-rumah bantuan ini dikurniakan secara percuma kepada para penerima yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Yayasan.
Pada hari Jumaat 16 Ramadan 1436H bersamaan 3 Julai 2015, diadakan majlis memulakan tiang rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sebuah keluarga yang kurang berkemampuan bertempat di Kampong Mulaut iaitu Dayang Fatimah binti Haji Jumat, seorang warga emas berusia 66 tahun.
Pembinaan rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan kepada mereka yang kurang berkemampuan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan yang selesa, bersih dan selamat bagi mewujudkan kehidupan berkeluarga yang aman dan harmoni.
Keadaan rumah Dayang Fatimah adalah berkeadaan daif dan usang dan beliau hanya mengharapkan pencen tua sebanyak $250.00 sebulan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat. Manakala suami beliau adalah seorang warga emas berstatus penduduk tetap dan masih berkhidmat sebagai buruh di Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan dibayar gaji hari ($800.00 sebulan).
Pasangan suami isteri ini mempunyai empat orang anak dan kesemuanya telahpun berkahwin. Dua daripadanya masih tinggal bersama sebumbung. Sebelum ini, pemohon dan juga sekeluarga pernah berusaha membina rumah baru sendiri namun memandangkan kewangan yang tidak mencukupi, maka pembinaan tersebut terbengkalai. Pendapatan sekeluarga yang diperolehi hanyalah cukup untuk perbelanjaan harian.
Rumah bantuan tersebut berkonsepkan 3 buah bilik tidur dilengkapi dengan bilik tamu, dapur dan tandas. Rumah tersebut dijangka siap dalam tempoh 3 bulan.
Hadir bagi menyempurnakan majlis memulakan tiang rumah bantuan ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Turut hadir adalah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; pegawai Kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






