
Pada hari Jumaat, 6 Rejab 1436H bersamaan 24 April 2015M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat Bagi Pengantin Diraja Antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah bertempat di Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat Bagi Pengantin Diraja ini diadakan sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan segenap warga Yayasan diatas sempurnanya Istiadat Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah yang telah berlangsung dalam suasana gemilang dan penuh beradat istiadat.
Seluruh warga Yayasan dengan penuh takzim menyembahkan sembah tahniah dan mendoakan semoga Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah sentiasa mendapat rahmat dan nikmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala, dilanjutkan usia dan sihat sejahtera, kekal qarar menjalani kehidupan berumahtangga dengan aman bahagia dan penuh kasih sayang dan seterusnya dikurniakan zuriat yang soleh.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah dijunjung oleh:
• Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Timbalan Pengerusi 1 Jemaah Tadbir Yayasan;
• Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah & Datin; dan
• Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Timbalan Pengerusi 2 Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah & Datin.
Turut berangkat ke Majlis ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Majlis juga turut dihadiri oleh mantan-mantan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jemaah Tadbir serta mantan-mantan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah merupakan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Lantikan Yang Teramat Mulia sebagai Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Chairman of the Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Committee of Governors) bermula 1 Mac 2013.
Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diserikan dengan persembahan Dzikir Marhaban oleh gabungan guru-guru ugama dan para pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Semasa persembahan Dzikir Marhaban, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah berkenan menerima pesambah daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berupa Mushaf Al-Qur'an iaitu Mushaf Al-Sharif yang dicetak dan diterbitkan oleh Islamic Cooperation Research Centre for Islamic History, Art and Culture (IRCICA), Istanbul Turkey. Mushaf Al-Sharif ini cukup istimewa kerana pembuatannya adalah berdasarkan kepada salinan asal Al-Qur'an yang telah disalin dan dibukukan pada zaman Khalifah Sayyidina Uthman bin 'Affan r.a.

Aturcara Majlis seterusnya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Sebelum berangkat balik, kedua mempelai Diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada semua para jemputan.

Pengenalan mengenai Mushaf Al-Sharif:
Sememangnya, Al-Qur'an yang lengkap dengan turutan ayat-ayat yang betul telah wujud pada zaman Nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi Wassalam. Ayat-ayat tersebut bagaimanapun, hanya ditulis pada kepingan yang berasingan, seperti dalam kulit dan tulang binatang, batu-batu nipis yang rata, daun dan pelapah dan lain-lain. Setelah Nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi Wassalam wafat, Sayyidina Abu Bakar (r.a.), sebagai khalifah pertama Islam telah memerintahkan supaya ayat-ayat Al-Qur'an disalin dari pelbagai bahan-bahan yang berbeza kepada bahan yang sama dan dikumpulkan dalam bentuk lembaran serta diikat dengan tali supaya tiada penyusunan yang telah hilang. Khalifah ketiga Islam iaitu Sayyidina Usman (r.a) telah memerintahkan seramai empat orang sahabat yang diketuai oleh Zaid bin Thabit untuk menulis /menyalin semula ayat-ayat Al-Qur'an dan mereka telah dapat menghasilkan beberapa buah salinan yang sempurna. Bagi tujuan tersebut, Sayyidina Usman (r.a.), telah meminjam manuskrip asal Al-Qur'an, yang telah disahkan oleh Nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi Wassalam yang disimpan oleh isteri Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wassalam sendiri iaitu Sayyidatina Hafsha (r.a.). Salinan-salinan Al-Qur'an tersebut kemudiannya telah dihantar oleh Sayyidina Usman (r.a.) ke pusat-pusat utama umat Islam di beberapa buah negara.
Daripada beberapa buah salinan Al-Qur'an tersebut, adalah dipercayai cuma ada dua (2) buah salinan asal Al-Qur'an sahaja yang tinggal pada ketika ini, iaitu tersimpan di Muzium Topkapi, Istanbul dan Muzium Tashkent, Uzbekistan. Mushaf Al-Sharif yang disembahkan sebagai pesambah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada Pengantin Diraja ini adalah merupakan faksimile salinan asal Al-Qur'an yang tersimpan di Muzium Topkapi, Istanbul (salah satu daripada manuskrip Al-Qur'an yang tertua sekali di dunia).






