Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkenan berangkat membuat lawatan kerja ke Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada hari Selasa, 6 Rabiulakhir 1436H bersamaan 27 Januari 2015M.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ke Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mencerminkan tanda keprihatinan Yang Teramat Mulia terhadap usaha dan rancangan Yayasan dalam bidang pendidikan. Bidang pendidikan telah dijadikan sebagai salah satu dari lima objektif utama penubuhan Yayasan.

Penubuhan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Sekolah Yayasan) merupakan sumbangan Yayasan dalam menyediakan prasarana dan perkhidmatan pendidikan sebagai langkah ke arah perkembangan pendidikan dan pembangunan modal insan selaras dengan dasar dan falsafah pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

Sekolah Yayasan yang terdiri daripada Taman Asuhan Kanak-Kanak, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah menawarkan perkhidmatan pendidikan dari peringkat kelas bimbingan kanak-kanak (nursery / kindergarten) hingga Menengah Tahun 11, dan kelas bagi pengajian Sekolah Ugama (Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama) dibawah satu bumbung. Bagi ketiga-tiga Sekolah ini, keramaian guru ialah sebanyak 162 orang dan keramaian pelajar pula ialah sebanyak 1,855 orang.

Sekolah Yayasan mempraktikkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang tersendiri dengan menerapkan falsafah kebangsaan Melayu Islam Beraja (MIB) di samping mempraktikkan kurikulum nasional yang disediakan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Sehingga hari ini, Sekolah Yayasan telah berjaya bertapak sebagai sebuah institusi pendidikan swasta yang dikenali dan menjadi pilihan khususnya bagi para ibu bapa. Perkara ini jelas sekali dengan meningkatnya keramaian para pelajar pada setiap tahun. Antara tarikan Sekolah ini ialah keunikan sistem pengajaran dan pembelajaran yang dipraktikan, rekod pencapaian akademik yang cemerlang, penglibatan aktif guru-guru dan pelajar dalam aktiviti ko-kurikulum, penyediaan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini dan suasana persekitaran sekolah yang sangat kondusif.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ke Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Timbalan Pengerusi 1 Lembaga Pengarah Yayasan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Timbalan Pengerusi 2 Lembaga Pengarah Yayasan; Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Pengerusi Lambaga Tadbir Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; dan Ahli-Ahli Lembaga Tadbir Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Pengerusi Lambaga Tadbir Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan. Acara diteruskan dengan sembah taklimat mengenai Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diikuti dengan sesi soal jawab.

Aturcara diteruskan dengan keberangkan lawatan dengan dimulai dari Taman Asuhan Kanak-Kanak, diikuti dengan Sekolah Rendah dan berakhir di Sekolah Menengah. Semasa keberangan lawatan ini, Yang Teramat Mulia Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah disembahkan dengan berbagai-bagai aktiviti bilik darjah dan luar bilik darjah yang dilaksanakan di ketiga-tiga buah Sekolah ini.

Turut hadir semasa keberangkatan lawatan kerja ini ialah Ahli-Ahli Lembaga Tadbir dan Ahli-Ahli Kehormat Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Persatuan Ibu-Bapa dan Guru-Guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-Pegawai dari Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan dan Pegawai-Pegawai Jabatan Pengajian Islam Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Titah dan Sabda
Pelan Strategik 2020 2025
Majalah Wadah
Dana Pengiran Muda Mahkota al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim
Tender Documents
Sultan Omar Ali Saifuddien Memorial Lecture
Facebook Page rasmi YSHHB

 


 

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086