
Pada hari Rabu, 13 Zulhijah 1435 bersamaan 8 Oktober 2014, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan yang ke-22.
Berangkat di majlis ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.
Aturcara majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yaasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar. Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena 22 tahun penubuhan Yayasan dan seterusnya diselajurkan dengan sembahyang Fardhu Isya' berjemaah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki Takhta pada 5 Oktober 1992. Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Ahli Keluarga Diraja Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Dalam dekad pertama, Yayasan telah mengusahakan pelbagai rancangan, projek dan aktiviti selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya iaitu meliputi bidang ugama, kebajikan, pendidikan, pembangunan dan kewangan.
Setelah mencapai segala perancangan dan perlaksanaan objektif dan matlamat, Yayasan terus melipatgandakan usahanya dalam memasuki dekad kedua dan mengambil inisiatif baharu dalam menghadapi keadaan demografi dan sosioekonomi yang sentiasa berubah dan mencabar.
Dalam memasuki dekad yang ketiga, Yayasan akan terus merancang dan mengambil langkah-langkah proaktif dan inovatif yang bersesuaian bagi meningkatkan pencapaian perancangan, projek dan aktivitinya.
Yayasan akan terus menghulurkan bantuan yang sesuai kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam selaras dengan visinya "Meningkatkan Kualiti Hidup serta Kecemerlangan dalam Sosio-Budaya dan Sosio-Ekonomi". Yayasan akan memastikan apa juga bantuan dan perkhidmatan yang dihulurkan serta projek yang diungkayahkan akan lebih terancang, terarah dan menepati kumpulan sasarannya demi untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negara ini.
Juga hadir dimajlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin, Timbalan Pengerusi 2 Jemaah Tadbir Yayasan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






