
Pada hari Khamis, 7 Zulhijah 1435 Hijrah bersamaan 2 Oktober 2014, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyampaikan beberapa sumbangan seperti berikut:
1. Sumbangan kepada Keluarga yang terlibat dalam Kejadian Rumah Roboh
Salah satu tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bidang kebajikan ialah memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam bencana rumah roboh. Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
Pada majlis ini, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah B$5,000.00 kepada keluarga Awang Syahman bin Sabtu yang terdiri daripada enam orang ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh di Kampong Pelambaian pada 29 September 2014 lalu.
2. Sumbangan Tajaan kepada Majlis Belia Brunei

Sebagai sokongan Yayasan terhadap badan-badan sukarela yang diiktiraf oleh kerajaan bagi mengendalikan program-program bersesuaian untuk mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat, Yayasan memberikan sumbangan tajaan sebanyak B$5,000.00 kepada Majlis Belia Brunei bagi mengadakan Forum Belia Brunei.
Sumbangan ini diterima oleh Yang Mulia Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff, Setiausaha Agung Tertinggi Majlis Belia Brunei.
3. Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampong Tamoi

Sumbangan kewangan sebanyak B$5,000.00 disumbangkan kepada Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampong Tamoi bagi mengadakan Program Aktiviti Belia-Belia Masjid 2014. Peserta-peserta belia yang dipilih adalah di kalangan belia-belia masjid daripada Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampong Rimba; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong; Masjid Kampong Bunut; dan Masjid Kampong Bengkurong.
Hadir bagi menerima sumbangan ini ialah Yang Mulia Awang Haji Nasrul Hazimin bin Haji Sapar, Imam Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampong Tamoi.
Sumbangan-sumbangan di majlis ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan.






