Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah 1435 Hijrah bersamaan 20 September 2014 Masihi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian tahun 2014/2015 bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan.

Majlis Menandatangani Perjanjian dan Doa Selamat Bagi Penerima Anugerah Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan yang juga telah berlangung hari ini bertempat di Istana Nurul Iman.

Seramai 5 orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Haji Hassanal Bolkiah 1435H / 2014M iaitu bagi sesi pengajian 2014/2015 ini. Mereka ini ialah:

• Dayang Izyan Nayli binti Haji Abdul 'Aziz sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di Cardiff Sixth Form College, Cardiff, United Kingdom. Beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Physical Natural Sciences' di University of Cambridge, United Kingdom.

• Awang Muhammad Nasruddin bin Haji Sulaiman adalah lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Tutong dan melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Chemistry' di University of Oxford, United Kingdom.

• Dayang Nurul Syadirah binti Awang Sayang sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah melanjutkan pengajian peringkat 'A' Level di Harrogate Ladies' College, United Kingdom. Melalui biasiswa "Sultan's Scholar" ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan MORSE (Mathematics, Operational Research, Statistics and Economics) di University of Warwick, United Kingdom.

• Dayang Rozana binti Awang Mustafa adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Sayyidina Ali dan beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Physics' di Imperial College London, United Kingdom.

• Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin adalah lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Mahad Qiraat, Al Azhar, Shoubra, Mesir.

Hadir selaku tetamu kehormat dimajlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Muhd Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Ini diikuti dengan acara menandatangani perjanjian biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi kelima-lima penerima anugerah biasiswa tersebut. Para penerima anugerah biasiswa akan menandatangani perjanjian tersebut bersama dengan dua orang penjamin yang terdiri dari ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat. Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan bersama dengan Yang Mulia Dayang Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa, Penolong Pengarah Urusan Yayasan dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.

Bermula pada tahun 2013, Yayasan telah memperluaskan Skim Biasiswa Sultan's Scholar untuk skim meninggi tahap pengajian ke peringkat Doktor Falsafah.

Pada petang ini, majlis diteruskan dengan Majlis Menandatangani Perjanjian antara pihak Yayasan dengan seorang penuntut biasiswa "Sultan's Scholar" yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah. Penuntut tersebut ialah Awang Muhammad Shu'aib bin Haji Kamaluddin yang telah mengambil jurusan 'Physics' di University College London, United Kingdom akan meneruskan pengajian peringkat Doktor Falsafah 'Organic Materials for Electronics Applications'.

Pada tahun 2013, seramai 2 orang penerima biasiswa "Sultan's Scholar" yang telah menamatkan pengajian di Peringkat Sarjana telah melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di bawah Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" ini.

Seterusnya, Awang Muhammad Shu'aib bin Haji Kamaluddin juga turut menerima insentif daripada Yayasan kerana telah mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian di peringkat ijazah pertama dengan mendapat Kepujian Kelas Pertama. Majlis penyampaian tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis pada petang ini diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi penerima-penerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam pada akhir bulan September ini. Bacaan doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Muhd Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid.

Turut hadir di majlis ini ialah sebahagian Timbalan-Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja (Working Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Adalah menjadi harapan dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang Ugama, Raja dan Negara.

Titah dan Sabda
Pelan Strategik 2020 2025
Majalah Wadah
Dana Pengiran Muda Mahkota al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim
Tender Documents
Sultan Omar Ali Saifuddien Memorial Lecture
Facebook Page rasmi YSHHB

 


 

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086