Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Majlis Penganugerahan Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Bagi Sesi Pengajian 2014/2015 telah diadakan pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah 1435H bersamaan 20 September 2014M bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini. Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pada tahun ini (tahun 2014), seramai 5 orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2014/2015. Mereka ialah Dayang Izyan Nayli binti Haji Abdul 'Aziz, Awang Muhammad Nasruddin bin Haji Sulaiman, Dayang Nurul Syadirah binti Awang Sayang, Dayang Rozana binti Awang Mustafa dan Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin. Kesemua mereka ini akan meneruskan pengajian dalam peringkat ijazah di universiti-universiti yang terkemuka di dunia.

• Dayang Izyan Nayli binti Haji Abdul 'Aziz sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di Cardiff Sixth Form College, Cardiff, United Kingdom. Melalui biasiswa "Sultan's Scholar" ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Physical Natural Sciences' di University of Cambridge, United Kingdom.

• Awang Muhammad Nasruddin bin Haji Sulaiman adalah lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Tutong dan melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Chemistry' di University of Oxford, United Kingdom.

• Dayang Nurul Syadirah binti Awang Sayang sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah melanjutkan pengajian peringkat 'A' Level di Harrogate Ladies' College, United Kingdom. Melalui biasiswa "Sultan's Scholar" ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan MORSE (Mathematics, Operational Research, Statistics and Economics) di University of Warwick, United Kingdom.

• Dayang Rozana binti Awang Mustafa adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Sayyidina Ali dan melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Physics' di Imperial College London, United Kingdom.

• Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin adalah lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Takhassus Al-Quran Wal Qiraat di Mahad Qiraat, Al Azhar, Shoubra, Mesir.

Aturcara Majlis Penganugerahan biasiswa "Sultan's Scholar" dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan menyempurnakan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2014/2015 kepada kelima-lima orang penerima.

Setelah penyempurnaan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar", bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar ramai dan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" dan para ibu-bapa mereka serta para jemputan.

Turut hadir di Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Timbalan Menteri Pendidikan, Setiausaha-Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja (Working Committee) Bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan, pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai kanan Yayasan, Pengetua-Pengetua dan sebahagian penuntut dari institusi-institusi tingkatan enam diseluruh negara.

Titah dan Sabda
Pelan Strategik 2020 2025
Majalah Wadah
Dana Pengiran Muda Mahkota al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim
Tender Documents
Sultan Omar Ali Saifuddien Memorial Lecture
Facebook Page rasmi YSHHB

 


 

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086