
Alhamdulillah, dengan limpah kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah sekali lagi menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Sabtu, 26 Syawal 1435H bersamaan 23 Ogos 2014M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis ini beserta ahli-ahli Kerabat Diraja Baginda.
Majlis seumpama ini adalah merupakan kali ke-sebelas dianjurkan oleh Yayasan dimana ianya mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Anjuran Yayasan ini mengetengahkan unsur-unsur kemasyarakatan dimana para peserta di majlis ini adalah terdiri daripada kelompok-kelompok yang telah dikenalpasti yang berkepentingan dalam menjana kesejahteraan bersama.
Untuk Majlis tahun ini, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan mengetengahkan para pemimpin iaitu seramai lebih kurang 1,200 orang. Beberapa kategori pemimpin yang dijemput adalah terdiri daripada para pemimpin jabatan dari sektor Kerajaan dan swasta, para pemimpin dalam institusi ugama dan masjid, para pemimpin dalam institusi pengajian dan sekolah termasuk pemimpin pelajar; para pemimpin masyarakat termasuk pemimpin persatuan hingga peringkat akar umbi.
Adapun tujuan menjadikan para pemimpin masyarakat sebagai peserta tahun ini adalah untuk mengakrabkan para pemimpin dengan sifat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk dicontohi sebagai model pemimpin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab terhadap orang yang mereka pimpin. Disamping itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mereka kepada aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan pentingnya tanggungjawab dan peranan para pemimpin dalam menerajui kecemerlangan dan pembangunan jati diri, bangsa dan negara, selain sebagai penghargaan di atas sumbangan para pemimpin dalam menggerakkan jentera pentadbiran dan pengurusan organisasi yang dipimpin.
Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Acara kemuncak Majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Sebuah video yang bertajuk "Kepimpinan Melalui Tauladan" juga ditayangkan dalam Majlis ini. Video tersebut antara lian memaparkan kemakmuran Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Raja Berdaulat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ciri-ciri kepimpinan Baginda inilah yang diharapkan untuk terus ditanai dan ditauladani oleh semua lapisan pemimpin di negara ini, baik para pemimpin dari pihak atasan mahu pun para pemimpin di peringkat akar umbi.
Kemeriahan majlis ini diserikan lagi dengan persembahan daripada seramai 150 orang pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (gabungan pelajar dari Taman Asuhan Kanak-Kanak, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah).
Saat yang ditunggu-tunggu oleh para peserta ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam untuk menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.
Yayasan dengan kerjasama beberapa agensi telah menyediakan ruang pameran yang bertemakan "Kepimpinan". Antara agensi yang menyertai ialah Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan; Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Institut Teknologi Brunei; Politeknik Brunei; Institute for Leadership, Innovation and Advancement (ILIA, UBD); Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Disamping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.
Turut hadir dalam Majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Pegawai-Pegawai Kerajaan dan swasta yang selama ini terlibat dalam menjayakan projek dan aktiviti Yayasan.






