
Pembinaan rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Yayasan sebagai usahanya bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya.
Rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan adalah dikhususkan kepada saudara-saudara baru dan mereka yang daif dan tidak berkemampuan mendirikan rumah sendiri. Rumah-rumah bantuan ini dikurniakan secara percuma kepada para penerima yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Yayasan.
Pembinaan rumah bantuan kepada saudara-saudara baru adalah bertujuan bagi memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki taraf kehidupan disamping dapat meneruskan dan menghayati kehidupan sebagai seorang Islam dengan sempurna dan dapat melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala dalam keadaan yang selesa dan aman.
Pada hari Khamis, 26 Ramadan 1435H bersamaan 24 Julai 2014, diadakan majlis memulakan tiang rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampong Rambai bagi Awang Abdul Rahman bin Abdullah Yakin, seorang saudara baru berusia 77 tahun.
Keadaan rumah Awang Abdul Rahman bin Abdullah Yakin adalah berkeadaan daif dan usang, serta tidak mempunyai bekalan elektrik dan hanya mengharapkan 'generator'. Beliau hanya mengharapkan pencen tua sebanyak $250.00 sebulan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat dan isteri beliau yang juga warga emas juga menerima elaun pencen tua.
Pasangan suami isteri ini tidak dikurniakan anak, walaubagaimanapun mempunyai dua orang anak angkat iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan yang juga merupakan anak saudara beliau. Anak angkat lelaki tinggal bersama beliau pada masa ini manakala anak angkat perempuan sudah berumahtangga dan tinggal bersama suami.
Rumah bantuan tersebut berkonsepkan 3 buah bilik tidur dilengkapi dengan bilik tamu, dapur dan tandas. Rumah tersebut dijangka siap dalam tempoh 3 bulan.
Hadir bagi menyempurnakan majlis memulakan tiang rumah bantuan ialah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan.
Turut hadir adalah pegawai Kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






