
Adalah menjadi satu kelaziman bagi mana-mana pihak kerajaan, sektor swasta, persatuan dan orang perseorangan di negara ini mengadakan majlis-majlis keugamaan sempena bulan Ramadan iaitu bagi menyemarakkan lagi bulan yang penuh keberkatan ini.
Pada hari Rabu, 11 Ramadan 1435 bersamaan 9 Julai 2014, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan yang juga merupakan salah satu aktiviti tahunan Yayasan.
Berangkat di majlis ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan 30 juzuk Al-Quran oleh pembaca-pembaca terdiri dari mualim dan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB). Ini diikuti dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Bertahlil yang dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, mualim dari ITQSHHB. Doa Khatam dan Tahlil pula dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar dan seterusnya diselajurkan dengan majlis berbuka puasa. Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.
Juga hadir dimajlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Timbalan Pengerusi 2 Lembaga Pengarah Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






