
Pada hari Ahad, 10 Syaaban 1435H bersamaan 8 Jun 2014M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah ikut serta Larian Amal Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam ke-3 "The Run 2014" dalam kategori Cabaran Korporat ("Corporate Challenge").
Sebanyak 10 kumpulan daripada Yayasan menyertai Larian Amal tersebut iaitu terdiri daripada 100 orang Pegawai dan Kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Antara tujuan Yayasan mengikuti acara ini adalah bagi menyokong aktiviti amal yang dikendalikan oleh Pusat Ehsan ini dan juga mengeratkan lagi silaturrahim serta meningkatkan semangat berpasukan antara peserta.

Semasa majlis penyampaian hadiah bagi kategori Cabaran Korporat, Yayasan telah diumumkan mendapat tempat kedua (Kumpulan Ajwa dan Kumpulan Safawi) dan ketiga (Kumpulan Anbarah dan Kumpulan Khudri).
Yayasan juga turut menyokong Pusat Ehsan dengan menaja sebahagian perbelanjaan untuk mengendalikan acara tersebut sebagai salah satu Penaja Rasmi bagi Larian Amal ini.
Yayasan dari semasa ke semasa akan menghulurkan bantuan kepada badan-badan bukan kerajaan sesuai dengan tujuan penubuhan Yayasan bagi memberikan khidmat kepada masyarakat. Pada setiap tahun bermula tahun 2001, Yayasan menyumbangkan sumbangan kewangan sebanyak B$50,000.00 sebagai sumbangan tahunan untuk memberi sokongan kepada Pusat Ehsan dalam mengendalikan perkhidmatannya.






