
Pembinaan rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Yayasan sebagai usahanya bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya.
Rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan adalah dikhususkan kepada saudara-saudara baru dan mereka yang daif dan tidak berkemampuan mendirikan rumah sendiri. Rumah-rumah bantuan ini dikurniakan secara percuma kepada para penerima yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Yayasan.
Pembinaan rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan kepada mereka yang kurang berkemampuan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan yang selesa, bersih dan selamat bagi mewujudkan kehidupan berkeluarga yang aman dan harmoni.
Pada hari Khamis, 24 Jamadilakhir 1435H bersamaan 24 April 2014, diadakan majlis memulakan tiang rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampong Kupang bagi Dayang Minah/Sidup binti Hj Serudin, seorang warga emas berusia 61 tahun.
Keadaan rumah Dayang Minah/Sidup berkeadaan daif dan usang, serta bekalan elektrik hanya bergantung kepada 'generator'. Beliau mempunyai anak seramai 12 orang dan daripada jumlah ini, seramai 4 orang anak adalah dibawah tanggungan beliau dan tinggal bersama sebumbung pada masa ini. Untuk menampung kehidupan sekeluarga, beliau hanya mengharapkan pendapatan sebagai buruh bergaji hari di Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Birau. Selain itu juga, suami beliau pula hanya menerima pencen tua dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Kos bagi mendirikan pembinaan sebuah rumah bantuan tersebut akan menelan belanja lebih 40 ribu ringgit dan berkonsepkan 3 buah bilik tidur dilengkapi dengan bilik tamu, dapur dan tandas. Rumah tersebut dijangka siap dalam tempoh 3 bulan.
Hadir bagi menyempurnakan majlis memulakan tiang rumah bantuan ialah Yang Mulia Haji Awang Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.
Turut hadir adalah Yang Mulia Awang Haji Puasa bin Haji Kula, Ketua Kampong Kupang; pegawai Kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






