
Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan, serta sebagai sumbangan Yayasan terhadap pembangunan bangsa, hari Rabu, 27 Rabiulawal 1435 bersamaan 29 Januari 2014, Yayasan menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada para pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Sumbangan dalam bentuk kupon bagi pembelian buku-buku dan peralatan sekolah dan buku-buku tulis (exercise books) adalah merupakan sokongan dan penglibatan Yayasan dalam memeduli hal-ehwal pendidikan para pelajar yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini adalah dihasratkan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka khususnya pada setiap menjelang penggal awal persekolahan.
Majlis pada hari ini adalah bagi menyampaikan sumbangan bantuan pembelian peralatan persekolahan dalam bentuk kupon yang bernilai B$60.00 berserta buku-buku tulis (cetakan Yayasan) sebanyak 20 buah bagi setiap pelajar. Seramai 12 orang murid yang terdiri daripada 12 sekolah-sekolah rendah di Daerah Temburong menerima sumbangan tersebut. Jumlah sumbangan bantuan persekolahan ini keseluruhannya berjumlah B$942.00.
Sumbangan ini disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diterima oleh Awang Othman bin Bolhassan, Pegawai Pelajaran Kanan Daerah Temburong untuk disampaikan kepada 12 orang murid berkenaan.
Adalah diharapkan sumbangan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid-murid berkenaan dan memberi dorongan kepada mereka untuk meneruskan serta mempertingkatkan pencapaian pelajaran masing-masing. Projek seumpama ini juga diharapkan supaya akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagi sama-sama memeduli kebajikan mereka yang kurang bernasib baik dan sangat-sangat memerlukan.
Turut hadir di majlis ini ialah Pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






