
Pada hari Jumaat, 8 Rabiulawal 1435H bersamaan 10 Januari 2014, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Program Sukarelawan 'Going the Extra Mile' dan 'We Do Because We Care' yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Kursus 'Going The Extra Mile' telah diadakan selama 3 hari pada awal bulan Disember 2013 yang lalu. Seramai 55 peserta yang terdiri daripada sebahagian pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah termasuk guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengikuti kursus tersebut. Manakala seramai 40 peserta yang terdiri daripada sebahagian sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengikuti Kursus 'We Do Because We Care' yang juga diadakan selama 3 hari pada akhir bulan Disember 2013.
Program ini telah dijalankan bagi membantu para peserta untuk terus meningkatkan mutu kerja, kerja berpasukan, meningkatkan semangat berpasukan serta meningkatkan semangat kesukarelawanan di kalangan peserta yang juga terdiri daripada golongan belia.
Majlis Penyampaian Sijil dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nabil bin Haji Maidin, Guru Sekolah Rendah Yayasan. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada kesemua 95 peserta kursus yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Tetamu Kehormat.
Seterusnya adalah ringkasan maklum balas semasa bengkel dijalankan daripada fasilitator kursus iaitu Yang Mulia Dr. Ali Qassem, Consultant K-MAS Management Sdn. Bhd.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat.
Turut hadir di majlis ini ialah Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan dan Pegawai-pegawai Yayasan.






