
Selaras dengan wawasan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat, pada hari Isnin, 21 Safar 1435 bersamaan 24 Disember 2013, Yayasan menyampaikan beberapa sumbangan seperti berikut:
1. Sebahagian masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara
Sumbangan ini adalah merupakan salah satu usaha Yayasan bagi mentakmirkan masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya dalam mempertingkatkan syiar Islam di negara ini.
Sebanyak 43 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul bagi tahun 1435H/2014M. Jumlah sumbangan kewangan yang diberikan keseluruhannya ialah sebanyak B$24,300.00:
Jumlah Masjid Jumlah Sumbangan
A. Brunei dan Muara 16 buah B$10,400.00
B. Tutong 16 buah B$8,000.00
C. Belait 4 buah B$2,000.00
D. Temburong 7 buah B$3,900.00
Jumlah Keseluruhan 43 buah B$24,300.00
Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.
2. Sumbangan Bantuan Peralatan Persekolahan
Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan, serta sebagai sumbangan Yayasan terhadap pembangunan bangsa, hari ini Yayasan menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada para pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Sumbangan dalam bentuk kupon bagi pembelian buku-buku dan peralatan sekolah dan buku-buku tulis (exercise books) adalah merupakan sokongan dan penglibatan Yayasan dalam memeduli hal-ehwal pendidikan para pelajar yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini adalah dihasratkan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka khususnya pada setiap menjelang penggal awal persekolahan.
Majlis pada hari ini adalah bagi menyampaikan sumbangan bantuan pembelian peralatan persekolahan dalam bentuk kupon yang bernilai B$60.00 berserta buku-buku tulis (cetakan Yayasan) sebanyak 20 buah bagi setiap pelajar. Seramai 112 pelajar yang terdiri daripada 63 murid sekolah rendah dan 49 penuntut sekolah menengah menerima sumbangan tersebut pada hari ini.
Jumlah sumbangan bantuan persekolahan pada tahun ini keseluruhannya berjumlah B$9,083.50. Hadir bagi menerima sumbangan bantuan ini ialah ibu-bapa para pelajar berkenaan.
Adalah diharapkan sumbangan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid-murid berkenaan dan memberi dorongan kepada mereka untuk meneruskan serta mempertingkatkan pencapaian pelajaran masing-masing. Projek seumpama ini juga diharapkan supaya akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagi sama-sama memeduli kebajikan mereka yang kurang bernasib baik dan sangat-sangat memerlukan.
Kesemua sumbangan Yayasan pada petang ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis ini ialah Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






