
Pada hari Khamis, 16 Safar 1435H bersamaan 19 Disember 2013, Yayasan menyampaikan beberapa sumbangan berikut:
1. Sebagai sokongan Yayasan terhadap penubuhan Tabung Kemanusiaan Bencana Alam Filipina (TKBAF) yang dibukakan sejak 11 November 2013, Yayasan menyampaikan sumbangan berjumlah B$75,000.00 kepada TKBAF. Bagi tujuan berkenaan, Yayasan sebelum ini telahpun menyerahkan sumbangan dalam bentuk in-kind (air mineral dan 'set generator') bernilai B$4,830.00 kepada Urusetia TKBAF sebelum ini, dan pada majlis hari ini Yayasan menyampaikan sumbangan selebihnya dalam bentuk kewangan berjumlah B$70,170.00.
Sumbangan kewangan berkenaan disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan diterima oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Bersama Tabung Kemanusiaan Bencana Alam Filipina.
2. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak B$50,000.00. Sumbangan ini adalah merupakan sumbangan tahunan Yayasan kepada Pusat berkenaan iaitu bagi tahun 2013. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam adalah sebuah badan bukan Kerajaan yang berfungsi menyediakan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum. Yayasan telah memberikan sumbangan tahunan sebanyak B$50,000.00 setahun kepada Pusat ini iaitu bermula pada tahun 2001 dimana bertujuan bagi memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatannya. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

3. Persatuan Bagi Pengurusan Autism Dalam Latihan, Pendidikan Dan Sumber (SMARTER) Brunei menerima sumbangan kewangan sebanyak B$50,000.00. Sumbangan dari Yayasan ini adalah bagi membantu membiayai pengurusan dan pengendalian kegiatan-kegiatan Persatuan SMARTER Brunei. Persatuan SMARTER Brunei ialah persatuan bagi sekumpulan ibu-bapa yang mempunyai anak yang menghidapi autisma. Sumbangan diterima oleh Yang Mulia Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman, Yang di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei.

Kesemua sumbangan Yayasan pada petang ini disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Zainal Abidin bin Haji Mohd Ali, Pemangku Pengarah Urusan; Penolong-Penolong Pengarah Urusan; pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






