
Pembinaan rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Yayasan sebagai usahanya bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya.
Rumah-rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan adalah dikhususkan kepada saudara-saudara baru dan mereka yang daif dan tidak berkemampuan mendirikan rumah sendiri. Rumah-rumah bantuan ini dikurniakan secara percuma kepada para penerima yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Yayasan.
Pembinaan rumah bantuan kepada saudara-saudara baru adalah bertujuan bagi memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki taraf kehidupan disamping dapat meneruskan dan menghayati kehidupan sebagai seorang Islam dengan sempurna dan dapat melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala dalam keadaan yang selesa dan aman.
Pada hari Selasa, 7 Safar 1435H bersamaan 10 Disember 2013, diadakan majlis memulakan tiang rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampong Tunggulian bagi Dayang Nurhidayah binti Abdul Rahim, seorang balu berusia 54 tahun.

Keadaan rumah Dayang Nurhidayah binti Abdul Rahim sebelum ini adalah berkeadaan daif dan usang, serta tidak mempunyai bekalan elektrik. Bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai pembersih, beliau mempunyai 3 orang anak tanggungan. Keadaan sekeluarga lebih sukar apabila suami beliau meninggal dunia pada tahun 2005.
Pembinaan rumah bantuan tersebut berkonsepkan 3 buah bilik tidur dilengkapi dengan bilik tamu, dapur dan tandas.
Hadir bagi menyempurnakan majlis memulakan tiang rumah bantuan ialah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir adalah pegawai Kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






