
Selaras dengan wawasan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat, pada petang Isnin, 28 Muharram 1435 bersamaan 2 Disember 2013, Yayasan menyampaikan beberapa sumbangan seperti berikut:
1. Jambori Nasional ke-4 Brunei Darussalam
Selaras dengan salah satu dasar dan tujuan penubuhan Yayasan iaitu mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat, Yayasan memberikan sumbangan berjumlah sebanyak B$5,000.00 bagi menaja sebahagian daripada perbelanjaan bagi mengadakan Jambori Nasional ke-4 Brunei Darussalam pada 3 hingga 8 Disember 2013 yang dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
Seramai 2,000 orang peserta akan menyertai acara ini yang terdiri daripada ahli-ahli Persekutuan Pengakap dari negara ASEAN dan juga di rantau asia pasifik. Antara tujuannya diadakan adalah untuk menanamkan perasaan tanggungjawab kepada peserta terutama sekali belia di negara ini dalam persediaan mereka untuk memainkan peranan sebagai pemimpin masa depan. Disamping itu, ia juga bertujuan untuk membangunkan kecergasan jasmani dan kemantapan rohani, intelektual peserta supaya menjadi tabah, berani serta berfikiran luas dan terbuka.
Menerima sumbangan tersebut ialah Yang Mulia Dato Paduka AR. Haji Idris bin Haji Abas, Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
2. Persidangan Antarabangsa Ketiga SOASCIS 2013
Sumbangan kewangan sebanyak B$2,000.00 berupa tajaan diberikan kepada Majlis Belia Brunei (MBB) iaitu bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Ketiga Sultan Omar 'Ali Saifuddien Centre for Islamic Studies (SOASCIS) 2013.

Hadir bagi menerima sumbangan ini ialah Yang Mulia Awang Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff, Setiausaha Agung Tertinggi, Majlis Belia Brunei.
3. Sumbangan Kebakaran
Salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan adalah memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah. Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban yang ditanggung dan dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
Pada majlis ini, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah B$11,300.00 kepada 5 buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah baru-baru ini. Senarai ketua keluarga yang menerima sumbangan daripada Yayasan pada hari ini adalah seperti berikut:
1. Awang Hoon Chong Siong, Kampong Menglait
2. Dayang Masitah binti Haji Omar, Kampong Bunut
3. Dayang Kasmawati binti Haji Omar, Kampong Bunut
4. Dayang Noormarwati binti Mat Jali, Kampong Madang
5. Dayang Kueh Yik Mei, Kampong Melayu Asli, Daerah Belait
4. Sumbangan Bantuan Peralatan Persekolahan
Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan, serta sebagai sumbangan Yayasan terhadap pembangunan bangsa, hari ini Yayasan menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada para pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Sumbangan dalam bentuk kupon bagi pembelian buku-buku dan peralatan sekolah dan buku-buku tulis (exercise books) adalah merupakan sokongan dan penglibatan Yayasan dalam memeduli hal-ehwal pendidikan para pelajar yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini adalah dihasratkan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka khususnya pada setiap menjelang penggal awal persekolahan.
Majlis pada hari ini adalah bagi menyampaikan sumbangan bantuan pembelian peralatan persekolahan dalam bentuk kupon yang bernilai B$60.00 berserta buku-buku tulis (cetakan Yayasan) sebanyak 20 buah bagi setiap pelajar. Seramai 77 pelajar yang terdiri daripada 52 murid sekolah rendah dan 25 penuntut sekolah menengah menerima sumbangan tersebut pada hari ini.
Jumlah sumbangan bantuan persekolahan pada tahun ini keseluruhannya berjumlah B$5,148.50. Hadir bagi menerima sumbangan bantuan ini ialah ibu-bapa para pelajar berkenaan.
Adalah diharapkan sumbangan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid-murid berkenaan dan memberi dorongan kepada mereka untuk meneruskan serta mempertingkatkan pencapaian pelajaran masing-masing. Projek seumpama ini juga diharapkan supaya akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagi sama-sama memeduli kebajikan mereka yang kurang bernasib baik dan sangat-sangat memerlukan.
Kesemua sumbangan Yayasan pada petang ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis ini ialah Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






