
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi mengadakan Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2 pada tahun ini dengan tujuan untuk menjana perkembangan bahasa, sastera dan budaya Islam di negara ini.
Pemberian Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada penulis-penulis tempatan adalah merupakan sumbangan Yayasan untuk melaksanakan salah satu tujuan penubuhannya iaitu "Menanam dan memupuk semangat kecemerlangan dalam bidang sosio-budaya di kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan mengadakan peraduan dan hadiah dalam bidang sastera dan kebudayaan."
Yayasan berharap Anugerah Kesusasteraan Islam ini dapat memupok semangat kecemerlangan dalam bidang penulisan dan kesusasteraan Islam di negara ini dan menjadi insentif dan penggalak bagi menyuburkan semangat kepada penulis-penulis tempatan untuk terus bergiat menghasilkan karya-karya penulisan kesusasteraan Islam yang bermutu tinggi.
Selain itu, Anugerah ini juga dihasratkan bagi menyebarkan dakwah dan meninggikan syiar Islam di kalangan umat manusia melalui karya sastera yang indah sesuai dengan kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2
Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-2 diadakan pada hari Isnin, 21 Muharram 1435H bersamaan 25 November 2013 bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, Negara Brunei Darussalam.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, berkenan berangkat ke Majlis ini. Turut berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah beserta ahli-ahli Kerabat Diraja.
Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri seterusnya berkenan mengurniakan sabda.
Aturcara Majlis diteruskan dengan Syarahan Khas Kesusasteraan Islam oleh Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim (Yahya M.S), penerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pertama (2008).
Majlis diikuti dengan persembahan pentas vokalisasi puisi berkonsepkan tablo oleh gabungan pelajar-pelajar dan guru-guru Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kumpulan GERAK Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan Putera Seni.
Aturcara Majlis diikuti dengan pemakluman penerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2 oleh Yang Mulia Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Pengerusi Bersama Panel Penilai Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2.
Acara kemuncak majlis ialah perkenan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri mengurniakan Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2.
Penerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2 pada tahun ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned [ Adi Rumi ] melalui karya Kumpulan Puisi – Dari Jendela Dunia. Penerima akan menerima Anugerah berupa wang tunai sebanyak B$15,000.00, sijil dan cenderamata.
Sebelum berangkat meninggalkan Majlis, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyaksikan pameran. Pameran mempamerkan penerbitan hasil-hasil karya penulisan sastera Islam yang telah dipilih untuk dibuat penilaian bagi Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2.
Hadir di Majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Duta-Duta, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan Kerajaan dan sektor swasta, para pelajar serta para jemputan lain.
Penilaian Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2
Bagi penilaian penerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2, beberapa buah karya sastera telah dinilai iaitu karya orang perseorangan yang dihasilkan oleh penulis yang terdiri daripada rakyat Negara Brunei Darussalam yang berugama Islam yang telah diterbitkan dalam lingkungan lima (5) tahun kebelakangan sebelum tarikh penilaian. Setelah beberapa peringkat saringan dibuat hanya sebanyak 7 karya sastera sahaja yang dipilih keperingkat akhir penilaian. Karya-karya tersebut adalah terdiri daripada sebuah kumpulan drama; 5 judul kumpulan puisi dan 1 judul novel, seperti berikut:
i. Kumpulan Drama : Kain Buruk Berikan Kami karya Shukri Zain
ii. Kumpulan Puisi : Dari Jendela Dunia karya Adi Rumi
iii. Kumpulan Puisi : Negara Zikir karya Adi Rumi
iv. Kumpulan Puisi : Melayu Islam Beraja 'Mahkota Negara' karya Adi Rumi
v. Kumpulan Puisi : Mutiara Indah Zikirku karya P H Muhammad Abd Rahman
vi. Kumpulan Puisi : Qarar karya Firdaus H N
vii. Novel : Di Sini Pohon-Pohon Berlari karya Muslim Burmat
Karya-karya sastera tersebut telah dinilai oleh sebuah panel penilai yang telah dilantik oleh Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu mereka yang terdiri daripada sasterawan, budayawan, sarjana dan tokoh yang berkelayakan dan mempunyai pengetahuan dalam bidang kesusasteraan Islam.
Maklumat Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pertama
Majlis Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang pertama telah diadakan pada hari Rabu, 7 Zulkaedah 1429H bersamaan 5 November 2008 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, Negara Brunei Darussalam.
Semasa majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan mengurniakan sabda dan antara kandungan sabda ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II diiktiraf sebagai Tokoh Sasterawan Islam Brunei dan Al-Marhum Pengiran Shahbandar Mohd Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda ibnu Pengiran Indera Mahkota ibnu Pengiran Abdul Rahman ibnu Pengiran Temanggong Dakula Ibnu Sultan Abdul Mubin diiktiraf sebagai Pelopor Kesusasteraan Moden Brunei.
Adalah diharapkan dengan lahirnya Syair Rakis karangan Al-Marhum Pengiran Shahbandar Pengiran Mohd Salleh pada tahun 1845 dan lahirnya karya-karya syair yang berbentuk keIslaman dan nasihat yang dihasilkan oleh tokoh sasterawan Diraja, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, akan dapat mendorong para karyawan sastera tempatan pada masa ini untuk terus menghasilkan karya sastera yang mampu diangkat menjadi khazanah warisan yang sentiasa segar dan relevan untuk menjadi panduan dan rujukan sepanjang zaman.
Penerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pertama (tahun 2008) ialah Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim (Yahya M.S) melalui hasil karya Kumpulan Puisi Perjalanan Terakhir Anakku Yang Hilang.






