
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture adalah merupakan satu kegiatan ilmu yang berbentuk akademik yang dikendalikan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertujuan untuk menjadi platform dimana pakar-pakar unggul dalam sesuatu bidang ilmu akan dapat diundang mengongsikan pemikiran dan pandangan mereka bagi meneroka ruang-ruang yang dapat membantu menjana peningkatan ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang yang bersesuaian.
Program "Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture" adalah sebagai satu peringatan yang berpanjangan pada mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-28 – pemimpin Negara yang unggul, tokoh ugama Islam, pemikir dan intelektual, tokoh sasterawan Islam Brunei dan Arkitek Brunei Moden.
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Pertama
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture yang pertama telah diadakan pada tahun 2009 (pada hari Rabu ,29 Safar 1430 bersamaan 25 Februari 2009 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas). Majlis Pelancaran Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu ,29 Safar 1430 bersamaan 25 Februari 2009 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture yang pertama telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Kuan Yew, Menteri Mentor Republik Singapura dengan syarahan yang bertajuk "Legasi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien" ("The Legacy of Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien"). Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Kuan Yew adalah orang yang seangkatan (contemporary) dengan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddein yang telah sama-sama berjuang mencapai pemerintahan sendiri dan seterusnya kemerdekaan bagi negara masing-masing.
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kedua
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kali Ke-2 telah diadakan pada tahun 2010 (hari Khamis, 28 Syawal 1431H bersamaan 7 Oktober 2010 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam). Hadir selaku tetamu kehormat dalam Memorial Lecture 2010 ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah.
Tokoh yang dipilih untuk menyampaikan Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kali Ke-2 ialah Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran (Dr.) Haji Mohd Yusof bin Pengiran Haji Abdul Rahim. Yang Amat Mulia ialah merupakan tokoh yang mempunyai pengalaman dan peranan aktif serta terlibat dalam perkembangan sistem pentadbiran Negara Brunei Darussalam dalam tahun 1950an hingga tahun 1970an. Tajuk syarahan yang disampaikan Yang Amat Mulia ialah "Bingkisan Mutiara dari Zaman Pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien".
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Ketiga
Pada tahun ini (2013), Yayasan telah mengundang Tuan Yang Terutama Dr. Han Seung-soo, Bekas Perdana Menteri Republik Korea (2008-2009) untuk menyampaikan Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kali Ke-3. Tajuk syarahan yang akan disampaikan ialah "How Did Korea Grow So Fast? Lessons For Developing Economies".

Biografi Ringkas Tuan Yang Terutama Dr. Han Seung-soo
Dr. Han Seung-soo merupakan Bekas Perdana Menteri Republik Korea (2008 hingga 2009). Beliau kini merupakan Ahli Lembaga Penasihat Setiausaha Agung PBB (Air dan Sanitasi) dan Pengerusi Pengasas High-Level Experts and Leaders Panel on Water and Disasters (HELP)/UNSGAB.
Beliau telah menerima pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa, yang mana antaranya ialah Hadiah Keamanan Nobel bagi pihak Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2001. Dr Han juga telah dianugerahkan pingat Kesatria Kehormat (KBE) daripada Ratu Elizabeth II dari United Kingdom pada tahun 2004.
Dr. Han memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1988 dimana pada tahun tersebut beliau telah memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Industri Korea sehingga tahun 1990. Antara tahun 1993 dan 1994, beliau bertugas sebagai Duta Besar Korea ke Amerika Syarikat. Kemudian pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Ketua Turus kepada Presiden Republik Korea. Pada tahun 1996, Dr. Han menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum dilantik sebagai Presiden Sesi ke-56 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2001.
Semasa menjadi Perdana Menteri Republik Korea pada tahun 2008, beliau telah berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi dunia. Kepakaran Tuan Yang Terutama dalam bidang ekonomi dan pengalaman politik sebelum ini dalam beberapa jawatan kabinet membantu beliau menghadapi krisis dan Republik Korea telah dapat menstabilkan negara dalam keadaan krisis ekonomi. Republik Korea telah pulih lebih cepat daripada krisis global pada tahun 2008 berbanding kebanyakan negara-negara OECD ('Organisation for Economic Co-Operation and Development'), dan dalam masa yang sama menikmati kadar pengangguran dan hutang kerajaan yang rendah.
Aturcara Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture 2013
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan dari Yang Mulia Dato Paduka Dr Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan dan Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture 2013.
Majlis diteruskan dengan pengenalan Tuan Yang Terutama Dr. Han Seung-soo, Bekas Perdana Menteri Republik Korea yang disampaikan oleh Yang Mulia Profesor Madya Dr. Azman bin Ahmad, Penolong Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam. Seterusnya ialah Syarahan "Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture" yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Dr. Han Seung-soo, Bekas Perdana Menteri Republik Korea. Tuan Yang Terutama menyampaikan syarahan yang bertajuk "How Did Korea Grow So Fast? Lessons For Developing Economies".
Kira-kira 3,000 orang hadir dalam Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture 2013 ini yang mana kebanyakkan mereka ini adalah merupakan jemputan yang diundang oleh Yayasan dan UBD iaitu terdiri daripada Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan sektor swasta serta penuntut-penuntut pengajian tinggi diseluruh Negara.
Pendokong Bersama
Dalam mengendalikan ketiga-tiga program Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture ini, Yayasan telah mendapat kerjasama daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang merupakan rakan strategik Yayasan dalam mengungkayahkan beberapa program yang bersesuaian dalam menjana peningkatan ilmu pengetahuan.
Selain itu, Yayasan juga mendapat sokongan daripada Bank Islam Brunei Darussalam dan juga Brunei Press Sdn Bhd selaku Media Partner.






