
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture adalah merupakan satu kegiatan ilmu yang berbentuk akademik yang dikendalikan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertujuan untuk menjadi platform dimana pakar-pakar unggul dalam sesuatu bidang ilmu akan dapat diundang mengongsikan pemikiran dan pandangan mereka bagi meneroka ruang-ruang yang dapat membantu menjana peningkatan ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang yang bersesuaian.
Program Memorial Lecture iaitu "Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture" adalah sebagai satu peringatan yang berpanjangan pada mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-28 – pemimpin Negara yang unggul, tokoh ugama Islam, pemikir dan intelektual, tokoh sasterawan Islam Brunei dan Arkitek Brunei Moden.
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Pertama
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture yang pertama telah diadakan pada tahun 2009 (pada hari Rabu ,29 Safar 1430 bersamaan 25 Februari 2009 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas). Majlis Pelancaran Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada hari Rabu ,29 Safar 1430 bersamaan 25 Februari 2009 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture yang pertama telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Kuan Yew, Menteri Mentor Republik Singapura dengan syarahan yang bertajuk "Legasi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien" ("The Legacy of Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien"). Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Kuan Yew adalah orang yang seangkatan (contemporary) dengan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddein yang telah sama-sama berjuang mencapai pemerintahan sendiri dan seterusnya kemerdekaan bagi negara masing-masing.
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kedua
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kali Ke-2 telah diadakan pada tahun 2010 (hari Khamis, 28 Syawal 1431H bersamaan 7 Oktober 2010 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam). Hadir selaku tetamu kehormat dalam Memorial Lecture 2010 ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah.
Tokoh yang dipilih untuk menyampaikan Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kali Ke-2 ialah Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran (Dr.) Haji Mohd Yusof bin Pengiran Haji Abdul Rahim. Yang Amat Mulia ialah merupakan tokoh yang mempunyai pengalaman dan peranan aktif serta terlibat dalam perkembangan sistem pentadbiran Negara Brunei Darussalam dalam tahun 1950an hingga tahun 1970an. Tajuk syarahan yang disampaikan Yang Amat Mulia ialah "Bingkisan Mutiara dari Zaman Pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien".
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Ketiga
Pada tahun ini (2013), Yayasan telah mengundang Tuan Yang Terutama Dr. Han Seung-soo, Mantan Perdana Menteri Republik Korea (2008-2009) untuk menyampaikan Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kali Ke-3. Tajuk syarahan yang akan disampaikan ialah "How did Korea Grow So Fast? Lessons For Developing Economies".
Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture Kali Ke-3 akan diadakan pada hari Selasa, 23 Zulhijjah 1434 bersamaan 29 Oktober 2013, bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Kerjasama / Rakan Strategik
Dalam mengendalikan ketiga-tiga program Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture ini, Yayasan telah mendapat kerjasama daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang merupakan rakan strategik Yayasan dalam mengungkayahkan beberapa program yang bersesuaian dalam menjana peningkatan ilmu pengetahuan.
Selain itu, Yayasan juga mendapat sokongan daripada Syarikat Brunei Press selaku Media Partner dalam memberigakan Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture 2013.
Jemputan dan Penyertaan
Kira-kira lebih 3,000 orang jemputan akan hadir semasa Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture 2013 nanti iaitu terdiri daripada pembesar-pembesar negara, duta-duta perwakilan asing, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta, para akademik dan penuntut-penuntut pengajian tinggi.
Disamping itu orang ramai yang berminat untuk sama-sama mendengar syarahan ini adalah dialu-alukan hadir dan mereka dikehendaki untuk mendaftar melalui e-borang yang disediakan di laman web Yayasan iaitu www.yshhb.org.bn. Pendaftaran adalah terhad kepada 500 orang sahaja dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang mendaftar terdahulu (first come, first serve basis).
Biografi Ringkas Tuan Yang Terutama Dr. Han Seung-soo
Dr. Han Seung-soo merupakan Mantan Perdana Menteri Republik Korea (2008 hingga 2009). Beliau kini merupakan Ahli Lembaga Penasihat Setiausaha Agung PBB (Air dan Sanitasi) dan Pengerusi Pengasas High-Level Experts and Leaders Panel on Water and Disasters (HELP)/UNSGAB.
Beliau telah menerima pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa, yang mana antaranya ialah Hadiah Keamanan Nobel bagi pihak Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2001. Dr Han juga telah dianugerahkan pingat Kesatria Kehormat (KBE) daripada Permaisuri Elizabeth II dari United Kingdom pada tahun 2004.
Dr. Han memulakan kerjaya politiknya pada tahun 1988 dimana pada tahun tersebut beliau telah memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Industri Korea sehingga tahun 1990. Antara tahun 1993 dan 1994, beliau bertugas sebagai Duta Besar Korea ke Amerika Syarikat. Kemudian pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Ketua Turus kepada Presiden Republik Korea. Pada tahun 1996, Dr. Han menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum dilantik sebagai Presiden Sesi ke-56 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2001.
Semasa menjadi Perdana Menteri Republik Korea pada tahun 2008, beliau telah berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi dunia. Kepakaran Tuan Yang Terutama dalam bidang ekonomi dan pengalaman politik sebelum ini dalam beberapa jawatan kabinet membantu beliau menghadapi krisis dan Republik Korea telah dapat menstabilkan negara dalam keadaan krisis ekonomi. Republik Korea telah pulih lebih cepat daripada krisis global pada tahun 2008 berbanding kebanyakan negara-negara OECD ('Organisation for Economic Co-Operation and Development'), dan dalam masa yang sama menikmati kadar pengangguran dan hutang kerajaan yang rendah.
Acara Sampingan SOAS Memorial Lecture 2013
Selain memberikan syarahan dalam Sultan Omar 'Ali Saifuddien Memorial Lecture 2013, Yayasan selaku penganjur juga telah mengaturkan beberapa acara sampingan bagi Dr. Han Seung-soo. Antara acara tersebut ialah beberapa sesi dialog bersama pegawai-pegawai Kerajaan dan swasta serta bersama para pengusaha di negara ini.
Klik Sini Untuk Mendaftar Bagi Menyertai SOAS Memorial Lecture 2013






