
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengenalkan pelbagai program bagi pembangunan kapasiti manusia untuk merealisasikan Wawasan 2035 ke arah rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi dan kehidupan rakyat berkualiti tinggi.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah merupakan wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli keluarga baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Dengan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah melalui Yayasan Baginda juga turut mengendalikan beberapa program pembangunan kapasiti manusia bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahunan yang seterusnya akan berperanan terhadap kemajuan dan pembangunan Negara misalnya Skim Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Biasiswa "Sultan's Scholar" adalah merupakan biasiswa yang berprestij dan ia dianugerahkan kepada penuntut-penuntut yang telah dikenalpasti oleh Yayasan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut yang cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang ke peringkat ijazah atau yang sebanding dengannya di institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di luar negara yang dibenarkan oleh Yayasan dan diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Tujuan penyediaan biasiswa "Sultan's Scholar" adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang Ugama, Raja dan Negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penganugerahan biasiswa "Sultan's Scholar" bermula pada tahun 2006 iaitu bagi sesi pengajian tahun 2006/2007.
Majlis Penganugerahan Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1434H/2013M telah diadakan pada 8 Zulkaedah 1434H bersamaan 14 September 2013M bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1434H/2013M ini. Turut berkenan berangkat ke majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Pada tahun ini (tahun 2013), seramai empat (4) orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2013/2014. Mereka ialah Dayang Hajah Hafizah binti Dato Paduka Haji Mohd Nor, Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatina@Andi Haafizah binti Haji Alliasim, Awang Khong Yu Neng dan Awangku Muhammad Muzhaffar bin Pengiran Haji Rusjdi. Kesemua mereka ini akan meneruskan pengajian dalam peringkat ijazah di universiti-universiti yang terkemuka di dunia.
• Dayang Hajah Hafizah binti Dato Paduka Haji Mohd Nor sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Pentadbiran Brunei (BAS) dan telah meneruskan pengajian peringkat 'A' Level di The Cheltenham Ladies' College, United Kingdom. Melalui biasiswa "Sultan's Scholar" ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Architecture' di University of Cambridge, United Kingdom.

• Dayang Hajah Andi Diinah Kiasatina@Andi Haafizah binti Haji Alliasim sebelum ini adalah penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia dan telah melanjutkan pengajian peringkat 'A' Level di Malvern St Jame's Girls' School, United Kingdom. Melalui biasiswa "Sultan's Scholar" ini, beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Biomedical Science' di University College London, United Kingdom.

• Awang Khong Yu Neng adalah lepasan penuntut Pusat Tingkatan Enam Tutong dan melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Chemistry' di University of Oxford, United Kingdom.

• Awangku Muhammad Muzhaffar bin Pengiran Haji Rusjdi adalah lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan melalui biasiswa "Sultan's Scholar", beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Aturcara Majlis Penganugerahan biasiswa "Sultan's Scholar" dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan menyempurnakan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1434H/2013M kepada keempat-empat orang penerima.
Setelah penyempurnaan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar", bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar ramai dan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" dan para ibu-bapa mereka serta para jemputan.
Turut hadir di Majlis ini ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Setiausaha-Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, ahli-ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) "Sultan's Scholar" Yayasan, pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai kanan Yayasan, Pengetua-Pengetua dan sebahagian penuntut dari institusi-institusi tingkatan enam diseluruh negara.
Salah satu pencapaian penuntut-penuntut biasiswa "Sultan's Scholar" pada tahun ini ialah dua orang penerima biasiswa "Sultan's Scholar" pada tahun 2009 telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama dengan cemerlang dan seterusnya akan meninggikan tahap pengajian ke peringkat Doktor Falsafah. Dua orang penuntut tersebut ialah:
• Yang Mulia Awang Muhammad Ayyub bin Haji Kamaluddin yang telah mengambil jurusan 'Mechanical Engineering' di Imperial College London, United Kingdom akan meneruskan pengajian peringkat Doktor Falsafah 'Environmental Stress Cracking of Polymers';
• Yang Mulia Dayang Nur Amirah Izzati binti Mohd Noor yang telah mengambil jurusan 'Chemical Engineering' di Imperial College London, United Kingdom akan meneruskan pengajian peringkat Doktor Falsafah 'Industrial Smart Grid'.
Pada tahun ini juga, Yayasan turut menyampaikan insentif kepada penuntut-penuntut biasiswa "Sultan's Scholar" yang cemerlang dalam pengajian di peringkat ijazah pertama dengan mendapat Kepujian Kelas Pertama iaitu:
• Yang Mulia Dayang Nur Amirah Izzati binti Mohd Noor, penerima biasiswa "Sultan's Scholar" pada tahun 2009 yang telah mengambil jurusan 'Chemical Engineering' di Imperial College London, United Kingdom;
• Yang Mulia Awangku Muhammad Zaki bin Pengiran Dato Paduka Haji Zaini, juga penerima biasiswa "Sultan's Scholar" pada tahun 2009 yang telah mengambil jurusan 'Civil Engineering' di Imperial College London, United Kingdom.






