
Alhamdulillah, dengan limpah kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah sekali lagi menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Selasa, 19 Syawal 1434H bersamaan 27 Ogos 2013M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis ini beserta ahli-ahli Kerabat Diraja Baginda.
Majlis seumpama ini adalah merupakan kali kesepuluh dianjurkan oleh Yayasan dimana ianya mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Anjuran Yayasan ini mengetengahkan unsur-unsur kemasyarakatan dimana para peserta di majlis ini adalah terdiri daripada kelompok-kelompok yang telah dikenalpasti yang berkepentingan dalam menjana kesejahteraan bersama.
Untuk Majlis tahun ini, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan mengetengahkan para peserta yang terdiri daripada para pengusaha, persatuan, pelajar dan individu yang bergiat dalam sektor teknologi info-komunikasi (ICT) iaitu seramai lebih kurang 1,200 orang.
Adapun tujuan pemilihan para peserta tersebut adalah untuk memberikan peluang kepada mereka yang terlibat dalam sektor ICT bagi memahami dan menjunjung aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memangkin bidang ICT sebagai penjana pertumbuhan ekonomi negara.
Disamping itu, pemilihan peserta ini juga adalah sebagai penghargaan diatas sumbangan sektor ICT dalam meningkatkan produktiviti, kecekapan dan nilai jentera pentadbiran dan pengurusan yang diperlukan dalam pembangunan dan pertumbuhan negara, mewujudkan peluang pekerjaan serta juga sebagai agen perubahan sosial yang positif. Selain itu, ia juga bertujuan sebagai penggalak dan pemangkin kepada generasi muda yang sinonim dengan tenaga dan minda kreatif serta inovasi untuk terlibat dalam bidang ICT yang semakin berkembang, dan seterusnya menggalakkan mereka untuk mengambil peluang untuk terus menerokai bidang ICT bagi kepentingan pembangunan negara untuk masa hadapan.
Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1434H/2013M ini yang mengetengahkan mereka yang terlibat dalam bidang ICT, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah menganjurkan Pertandingan Klip Video dengan tema "Raja Yang Prihatin". Pertandingan ini bertujuan untuk menanamkan semangat kasih kepada raja dan memupuk semangat patriotik dalam pembangunan bangsa dan negara, sekaligus menggalakkan mereka yang terlibat dalam bidang ICT untuk menonjolkan kemahiran dan bakat dalam bidang ini bagi menjana kesejahteraan dan kemakmuran negara. Pertandingan ini dibahagikan kepada lima (5) kategori iaitu Kategori Terbuka "Keagamaan", Kategori Terbuka "Pendidikan", Kategori Terbuka "Sosio-Ekonomi / Kemasyarakatan", Kategori Menengah Atas dan Tingkatan Enam dan Kategori Institusi Pengajian Tinggi.
Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Acara kemuncak Majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Di Majlis ini juga diumumkan Pemenang Pertama Pertandingan Klip Video "Raja Yang Prihatin" Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1434H/2013M bagi kelima-lima kategori yang dipertandingkan dan seterusnya tayangan klip video berkenaan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya dijunjung untuk mengurniakan hadiah-hadiah kepada para Pemenang Pertama Pertandingan Klip Video "Raja Yang Prihatin" Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu:
• Kategori Terbuka Keagamaan – Visual Dimensions Production
• Kategori Terbuka Pendidikan – Awang Haji Alidin bin Haji Momin
• Kategori Terbuka Sosio Ekonomi / Kemasyarakatan – Dayang Zatul Karamah binti Haji Tajudin
• Kategori Penuntut Menengah Atas & Tingkatan Enam – Dayangku Syazana Syafiqah binti Pengiran Md Suffian
• Kategori Penuntut Institusi Pengajian Tinggi – Dayang Nina binti Abd Ghani
Kemeriahan majlis ini diserikan lagi dengan persembahan daripada seramai 150 orang pelajar Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (gabungan pelajar dari Taman Asuhan Kanak-Kanak, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah).
Saat yang ditunggu-tunggu oleh para peserta ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan semua peserta yang hadir.
Yayasan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah menyediakan ruang pameran yang bertemakan "Menjana Industri ICT dan Media Digital Tempatan". Sebanyak 22 ruang pameran yang disertai oleh beberapa buah Syariakt Telekomunikasi Tempatan, syarikat-syarikat ICT yang telah menerima geran (bantuan kewangan) daripada pihak AITI dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BDEB), sekolah / maktab yang telah memenangi anugerah dalam Pertandingan ICT tempatan dan luar negara serta beberapa buah syarikat / persatuan ICT yang berkaitan. Antara produk yang dipamerkan ialah beberapa aplikasi ICT tempatan "Brunei-Made ICT Applications".

Disamping memberi kesempatan peluang kepada para peserta untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasihi, majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.
Turut hadir dalam Majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Pegawai-Pegawai Kerajaan dan swasta yang selama ini terlibat dalam menjayakan projek dan aktiviti Yayasan.






