
Adalah menjadi satu kelaziman bagi mana-mana pihak kerajaan, sektor swasta, persatuan dan orang perseorangan di negara ini mengadakan majlis-majlis keugamaan sempena bulan Ramadan iaitu bagi menyemarakkan lagi bulan yang penuh keberkatan ini.
Pada hari Selasa, 14 Ramadan 1434 bersamaan 23 Julai 2013, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan yang juga merupakan salah satu aktiviti tahunan Yayasan.
Berangkat di majlis ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan 30 juzuk Al-Quran oleh pembaca-pembaca terdiri dari mualim dan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Ini diikuti dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Bertahlil yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar dan seterusnya diselajurkan dengan majlis berbuka puasa. Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.



Juga hadir dimajlis ini ialah
• Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Timbalan Pengerusi 1 Jemaah Tadbir Yayasan;
• Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin, Timbalan Pengerusi 2 Jemaah Tadbir Yayasan;
• Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;
• Ahli-Ahli Jemaah Tadbir dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.







