Text Size
Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Pada hari Jumaat, 26 Syaaban 1434H bersamaan 5 Julai 2013, ASEAN telah julung-julung kalinya melancarkan Anugerah Kepimpinan bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (RDPE), yang bertujuan untuk mengiktiraf peranan, pencapaian cemerlang dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara-negara anggota ASEAN untuk pembangunan luar bandar dan kehidupan serta pengurangan kemiskinan masyarakat tempatan. Anugerah Kepimpinan RDPE ini diadakan buat pertama kali bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (AMRDPE) ke-8 di Yogyakarta, Indonesia.

Pada 2 November 2011, AMRDPE ke-7 telah diadakan di Negara Brunei Darussalam yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam. Pada mesyuarat itu, menteri-menteri ASEAN telah mengesahkan untuk mengiktiraf sumbangan yang dibuat oleh NGO yang beroperasi di ASEAN yang membantu dalam pembangunan masyarakat dan pembasmian kemiskinan dengan memberikan mereka Anugerah Kepimpinan RDPE. Setiap anggota ASEAN perlu mencalonkan NGO yang layak untuk menerima anugerah tersebut dalam AMRDPE ke-8. Oleh itu, sebagai penghargaan terhadap sumbangan-sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Sekretariat ASEAN telah mencalonkan Yayasan bagi pihak Negara Brunei Darussalam untuk menjadi penerima anugerah itu.

Bersama-sama dengan Yayasan, NGO dari ahli-ahli ASEAN yang lain yang turut dicalonkan untuk menerima anugerah itu ialah Life With Dignity - LWD dari Kemboja; Perempuan Kepala Keluarga - PEKKA dari Indonesia; Persatuan De Soutien Au Pembangunan Des Societes Paysannes (Persatuan Menyokong Pembangunan Golongan Paysan) - ASDSP dari Laos; Amanah Ikhtiar Malaysia - AIM dari Malaysia; The Straits Times School Pocket Money Fund - SPMF dari Singapura; The Net Foundation dari Thailand; Tambuyog Development Center – The Philippines dan Pusat Sukarelawan Perkembangan Pertanian - CAEV dari Vietnam.

Menyampaikan Anugerah Kepimpinan itu bagi pihak sekretariat ASEAN kepada kesemua NGO tersebut ialah Tuan Yang Terutama KRMT Roy Suryo Notodiprojo, Menteri Pemuda dan Olahraga, Republik Indonesia. Menerima anugerah tersebut bagi pihak Yayasan ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail. Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, dalam kapasitinya sebagai ahli Lembaga Pengarah Yayasan.

Yayasan ditubuhkan sempena Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, sebagai wadah amal jariah Baginda dan Ahli Keluarga Diraja Baginda iaitu tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat yang sentiasa taat setia serta sebagai lambang pembentukan dan perpaduan masyarakat dan negara.

Selama lebih dari 2 dekad sejak penubuhannya, Yayasan telah melaksanakan pelbagai projek dalam meningkatkan dan merangsang sosio-ekonomi serta kesejahteraan di kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Samada memberi bantuan kepada yang kurang bernasih baik atau menyediakan peluang untuk kehidupan yang lebih baik, Yayasan telah membantu ramai penduduk Brunei dalam merealisasikan impian dan cita-cita mereka, sekaligus memenuhi aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Pengiktirafan daripada Sekretariat ASEAN, bagi menerima Anugerah Kepimpinan ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan yang pertama adalah merupakan satu penghormatan untuk Yayasan.

Sejak penubuhannya, Yayasan telah membentuk rakan strategik ("strategic alliances") dengan pelbagai agensi dalam sektor awam dan swasta serta NGO dan sukarelawan yang lain untuk memastikan apa jua bantuk bantuan dapat diberikan dan disalurkan kepada mereka yang layak. Di awal penubuhannya pada tahun 1993, Yayasan dan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berganding bahu untuk mengusahakan Skim Perumahan Yayasan bagi penempatan semula 183 buah keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal selepas tragedi kebakaran besar di 3 buah kampung di Kampong Ayer. Sebanyak 476 buah rumah telah dibina untuk mangsa-mangsa kebakaran, melalui Skim Penempatan Semula Yayasan yang dikenali sebagai Kampong Bolkiah 'A' dan Kampong Bolkiah 'B'. Sejak itu, Skim Perumahan Yayasan telah diperluaskan lagi di seluruh negara membina 140 rumah, terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan termasuk golongan mualaf yang kurang bernasib baik.

Sekitar tahun 2001 hingga 2003, Yayasan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam telah memulakan satu projek penyelidikan untuk mendalami tahap dan jenis kemiskinan di Negara Brunei Darussalam. Sebagai sebahagian daripada penyelidikan, kajian juga telah dilakukan untuk menilai isu-isu sosial yang berkaitan dengan kemiskinan iaitu pendidikan dan latihan, pekerjaan, perumahan, kesihatan dan makanan, keluarga, kebajikan dan keselesaan, serta keselamatan dan jenayah. Hasil daripada kajian itu kemudian diterima pakai oleh Yayasan sebagai garis panduan dalam menilai dan menangani program-program bantuan kebajikan.

Dalam meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi golongan yang kurang berkemampuan (dengan syarat mereka berada dalam kesihatan yang mengizinkan dan mempunyai kemahiran tertentu yang boleh dikembangmajukan), Program Perekonomian telah diperkenalkan bagi membolehkan mereka untuk melakukan perniagaan kecil-kecilan dan juga menyediakan mereka dengan latihan keusahawanan dan kemahiran. Di bawah program ini, beberapa buah keluarga telah terlibat dalam pelbagai projek, iaitu seperti jahitan, perusahaan memproses makanan, perkhidmatan pengangkutan air, dan juga termasuk skim melengkapkan diri dengan latihan keusahawanan dan kemahiran.

Program Intervensi Pendidikan (PIP) juga telah diusahakan oleh Yayasan untuk membantu dan mendidik anak-anak dari keluarga yang kurang bernasib baik untuk menyediakan mereka dengan peluang-peluang untuk meneruskan pengajian mereka sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Satu projek telah diperkenalkan pada tahun 2006 di bawah PIP iaitu 'Projek Kelas Tuisyen'. Ia telah bermula dengan seramai 75 pelajar dari kawasan Skim Perumahan Yayasan Kampong Bolkiah dan kemudian diperluaskan lagi kepada pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah lain di Daerah Brunei-Muara. Pada tahun ini, projek ini diperluaskan lagi merangkumi pelajar-pelajar dari Daerah Tutong. Sehingga hari ini, hampir 1,500 pelajar telah menyertai projek ini. Bermula tahun 2010, pelajar-pelajar Projek Kelas Tuisyen PIP yang mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) telah diberikan biasiswa oleh Yayasan untuk meneruskan pengajian Tahun 7 hingga tahun 11 mereka di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sebanyak 17 pelajar di bawah projek itu telah menerima biasiswa dan kini sedang menuntut di sekolah berkenaan.

Dalam meningkatkan usaha untuk memberi perhatian terhadap pendidikan dan kesejahteraan pelajar daripada keluarga yang kurang bernasib baik, Yayasan juga telah menyediakan bantuan peralatan dan keperluan persekolahan. Bantuan ini bertujuan untuk memberi galakkan kepada mereka untuk meneruskan pengajian mereka dengan sempurna disamping untuk meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan. Selain itu, Yayasan telah dari semasa ke semasa memberikan biasiswa kepada pelajar persendirian (yang tidak menerima biaya daripada mana-mana pihak), yang terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menamatkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi di luar negara dalam pelbagai bidang pengajian.

Selaras dengan objektif penubuhan Yayasan dalam bidang Ugama, Kebajikan, Pendidikan, Pembangunan dan Kewangan, Yayasan dalam dekad ketiganya telah mengusahakan pelbagai projek dan aktiviti baru untuk menyediakan perkhidmatan bagi mereka yang memerlukan. Dalam hubungan ini, Yayasan akan terus menghulurkan bantuan yang sesuai kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam selaras dengan visinya "Meningkatkan Kualiti Hidup serta Kecemerlangan dalam Sosio-Budaya dan Sosio-Ekonomi" dan dalam masa yang sama menyokong visi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk membasmi kemiskinan menjelang tahun 2035.

Titah dan Sabda
Pelan Strategik 2020 2025
Majalah Wadah
Dana Pengiran Muda Mahkota al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim
Tender Documents
Sultan Omar Ali Saifuddien Memorial Lecture
Facebook Page rasmi YSHHB

 


 

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Perdana Menteri 
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086