
Selaras dengan salah satu tujuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam mempertingkatkan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat, Yayasan telah menganjurkan Life Skills Training (LESTARI) yang diadakan pada 17 hingga 20 Jun 2013 bertempat di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Program ini dikendalikan dengan kerjasama oleh Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC).
Pada petang Khamis, 11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M, diadakan Majlis Penutup Bagi Program LESTARI bertempat di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dato Paduka Dr Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Program LESTARI ini adalah merupakan salah satu sumbangan Yayasan kepada belia-belia di negara ini di bawah Program Pembangunan Belia Yayasan dalam membina jati diri, kemahiran dan termasuklah memupuk semangat kesukarelawanan. Program tersebut adalah kombinasi pelbagai latihan yang diperolehi dari dalam dan luar negeri, dan diadaptasi mengikut persekitaran dan suasana Brunei Darussalam. Metodologi atau kaedah yang digunakan dalam program ini adalah menerusi muzik, cerita, audio dan visual, interaktiviti dan permainan. Program ini menggabungkan aktiviti luar dan dalam yang mencabar fizikal, mental dan keupayaan peserta, dan secara keseluruhannya menekankan dan meningkatkan kemahiran dan nilai-nilai hidup para peserta.
Pada tahun ini, seramai 45 orang belia berumur antara 14 hingga 20 tahun mengikuti program yang diadakan selama 4 hari 3 malam. Objektif program ini diadakan adalah untuk:
• Mendidik peserta dengan kemahiran hidup dalam persekitaran yang interaktif dan youth-friendly;
• Mempersiapkan belia untuk mengambil tanggungjawab untuk diri sendiri, keluarga, teman sebaya dan masyarakat;
• Membolehkan para peserta untuk menilai diri dan menunjukkan potensi diri sendiri.
Acara majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Iswandy Ahmad, Yang Di-Pertua BDAC. Ini diikuti dengan ucapan tetamu kehormat oleh Yang Mulia Dato Paduka Dr Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Seterusnya adalah video tayangan untuk mengimbas kembali aktiviti-aktiviti yang dijalankan bermula hari pertama sehingga hari terakhir dan juga diikuti ucapan 3 orang wakil peserta LESTARI mengenai dengan pengalaman yang mereka lalui sepanjang program tersebut.
Penyampaian sijil kepada para peserta yang mengikuti program ini disempurnakan oleh tetamu kehormat. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat.
Turut hadir di majlis ini adalah Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan; Penolong Pengarah Urusan Yayasan, pegawai-pegawai Yayasan, ahli-ahli jawatankuasa LESTARI dan para ibu-bapa peserta LESTARI.






