Pengarah Urusan Yayasan mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pembahagian Kurma Kurnia Peribadi KDYMM
Mesyuarat Penyelarasan Pembahagian Kurma Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1434 Hijrah / 2013 Masihi pada pagi Khamis, 3 Rejab 1434H bersamaan 23 Mei 2013 dipengerusikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).
Antara agenda yang dibincangkan di mesyuarat pada hari ini adalah mengenai sistem pengendalian dan pembahagian kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1434 Hijrah / 2013 Masihi dan seterusnya melantik Urusetia dan Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelaras Pembahagian Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi tahun 1434 Hijrah / 2013 Masihi yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Jabatan-Jabatan Kerajaan yang terlibat dan pegawai-pegawai Yayasan.
Di samping itu, mesyuarat pada hari ini juga membincangkan mengenai format aturcara Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadhan 1434 Hijrah / 2013 Masihi dan seterusnya melantik Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelaras dan Jawatankuasa Kecil Pembahagian Kurma dan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma tersebut.
Mesyuarat pada pagi ini dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Daerah / wakil dari keempat-empat Daerah dan Pegawai-Pegawai Kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei serta pegawai-pegawai Yayasan.
Pembahagian kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada tahun ini akan bermula dengan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma dimana dalam majlis itu nanti buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini akan diserahkan kepada ketua-ketua kampung diseluruh negara dan mereka kemudiannya (iaitu selepas majlis pelancaran) akan mengagih-agihkan buah kurma tersebut kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka masing-masing.
Sementara itu, bagi anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dalam Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma ini nanti, buah-buah kurma tersebut akan diserahkan kepada Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pengarah-Pengarah Unit di Kementerian Pertahanan dan mereka kemudiannya (iaitu selepas majlis pelancaran) akan mengagih-agihkan buah kurma tersebut kepada pegawai dan kakitangan di bawah unit masing-masing.
Begitu juga bagi Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma itu nanti, buah-buah kurma tersebut akan diserahkan kepada Pegawai-Pegawai Pemerintah dan Pengarah Formasi-Formasi dan mereka kemudiannya iaitu selepas majlis pelancaran akan mengagih-agihkan buah kurma ini kepada pegawai dan kakitangan di bawah unit masing-masing.
Pada tahun ini, sejumlah seratus lima puluh satu perpuluhan lima (151.5) ton metrik buah kurma jenis 'Safawi' yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi akan dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di Negara Brunei Darussalam dengan tidak menghadkan umur dan taraf kerakyatan (setiap seorang Islam akan menerima satu kotak kecil yang mengandungi 300 gram).
Kurma yang dibekalkan dari Al Madinah Dates Company, Arab Saudi dihantar dengan menggunakan kapal laut dan dimuatkan dalam sebelas (11) buah kontina berhawa dingin ('chilled container') masing-masing berukuran empat puluh (40) kaki iaitu bagi mempastikan kesegaran buah kurma berkenaan dan akan dijangka sampai di Pelabuhan Muara sebelum atau pada 01 Syaaban 1434H bersamaan 10 Jun 2013.
Buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan. Pengurusan pembahagian kurma kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini merupakan salah satu projek khas yang diungkayahkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada setiap tahun.






