
Sebahagian peserta yang mengadakan persembahan nasyid
Pada pagi Khamis, 24 Rejab 1433H bersamaan 14 Jun 2012M, diadakan Majlis Penutup Bagi Program Perkhemahan Remaja-Belia Aktif Menuju Redha Ilahi 'Belia Cergas Ruhiah Terpuji' Kali Ke-2 Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mewakili Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Semasa majlis tersebut, satu ceramah motivasi telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Ali Yusri bin Abdul Ghafor, Penolong Pengarah dan Ketua Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan dikelolakan oleh Kumpulan Al-Qudwah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali dengan kerjasama Badan Sukarelawan Belia Kebangsaan. Bertemakan 'Belia Cergas Ruhiah Terpuji', program ini diadakan selama 5 hari bermula hari Ahad, 20 Rejab 1433H bersamaan 10 Jun 2012.
'Belia Cergas' membawa maksud seorang belia yang aktif sudah tentu perlu kepada kecergasan mental dan fizikal. Manakala 'Ruhiah Terpuji' pula jiwa yang dihiasi dengan sifat-sifat yang terpuji di sisi Allah sebagai seorang Muslim. Maka 'Belia Cergas Ruhiah Terpuji' bermaksud remaja-belia aktif yang memiliki kecergasan dari segi fizikal dan mental dengan menanamkan sifat-sifat terpuji di dalam jiwa mereka.
Sesuai dengan tema tersebut, visi program ini diadakan adalah memperkasa akhlak sahsiah di dalam membina dan melahirkan individu yang cemerlang, masyarakat yang harmoni dan negara yang diberkati, manakala misi program ini adalah melahirkan generasi yang sihat, aktif, beriman, berakhlak mulia, berilmu dan bertaqwa.
Pada kali ini, sejumlah 38 orang peserta menyertai program ini yang berumur antara lingkungan 15 – 20 tahun daripada 8 buah sekolah menengah yang terpilih di Daerah Brunei dan Muara iaitu
- Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
- Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam
- Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar
- Sekolah Menengah Berakas
- Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri
- Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna
- Sekolah Menengah Masin
- Sekolah Menengah Sayyidina Husain
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang 5 hari program tersebut termasuk Kelas Mengaji Al-Quran, Kelas Pendidikan Islam, Kuliah Subuh, Sukan dan pelbagai aktiviti riadah.






