Pengarah Urusan Yayasan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil Pemangku Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama
Pada petang Isnin, 29 Syawal 1433H bersamaan 17 September 2012, Yayasan menyampaikan beberapa sumbangan berikut:
1. Sumbangan kerusi roda
Yayasan dalam usahanya melaksanakan dasar dan tujuan penubuhannya akan terus berusaha dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jemaah-jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang menunaikan ibadah haji pada setiap menjelang musim haji menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu berupa pakaian ihram dan telekong di mana pengurusan kurnia peribadi ini dikendalikan oleh Yayasan.
Bermula pada musim haji tahun ini (1433H/2012M), Yayasan memberikan sumbangan berupa kerusi roda sebanyak 35 buah untuk kegunaan para jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang memerlukan. Sumbangan ini diharap akan dapat sama-sama membantu pihak Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi memberikan kemudahan yang sesuai dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang memerlukan.
Hadir bagi menerima sumbangan ini ialah wakil Pemangku Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pengarah Urusan Yayasan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pemangku Timbalan Ketua pendidikan Khas, Unit pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan
2. Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-22, Tahun 2012
Hari Guru Negara Brunei Darussalam diadakan pada setiap 23 September bermula pada tahun 1991. Tarikh 23 September, iaitu tarikh Keputeraan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dipilih sebagai Hari Guru Negara Brunei Darussalam, untuk mengenang jasa dan sumbangan dalam bidang pendidikan termasuk pendidikan agama.
Sambutan Hari Guru adalah bagi memperingati jasa dan bakti guru kepada masyarakat, bangsa, ugama dan negara. Acara Sambutan Hari Guru Kali Ke-22 akan diadakan pada 24 September 2012 di Dewan Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Bagi tujuan tersebut, Yayasan menyampaikan sumbangan tajaan dalam bentuk beg kertas ('Paper Bags') sebanyak 5,000 unit untuk kegunaan Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-22, Tahun 2012.
Sumbangan tersebut diterima oleh Cikgu Awang Bukit bin Hidup, Pemangku Timbalan Ketua pendidikan Khas, Unit pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.
3. Sumbangan Kepada Mereka Yang Terlibat Dalam Musibah Kebakaran Rumah
Salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan adalah memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah. Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban yang ditanggung dan dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah B$1,000.00 kepada keluarga Awang Chong Kim Soon yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampong Madang.
4. Sumbangan Kepada Mereka Yang Terlibat Dalam Bencana Rumah Roboh
Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah B$5,500.00 kepada 2 buah keluarga yang terdiri daripada 5 orang ahli keluarga yang terlibat dalam bencana rumah roboh di Kampong Sungai Besar. Dua buah keluarga ialah keluarga Awang Haslin bin Awang Omar dan keluarga Dayang Hajah Armah binti Puteh.
Kesemua sumbangan Yayasan pada petang ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






