Pengarah Urusan Yayasan memberikan penerangan ketika sidang media
Pada bulan Januari 2013, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB).
Insya Allah, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan mula beroperasi dengan pengambilan pertama pelajar-pelajar pada awal tahun 2014. Penubuhannya dihasratkan bagi menjadi sebuah Pusat Pengajian yang pertama di negara ini yang melahirkan tenaga pakar dari kalangan belia Islam tempatan dalam bidang seni Islam khususnya seni mushaf, kaligrafi dan seni hiasan Islam.
Tujuan penubuhan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah :
- Bagi melahirkan tenaga pakar dikalangan rakyat Negara Brunei Darussalam sendiri dalam bidang seni Islam khususnya kaligrafi dan seni mushaf yang mana secara amnya belum dipelopori oleh mana-mana agensi secara serius;
- Menyokong usaha Kerajaan dalam sama-sama meninggikan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam dengan menerokai bidang seni Islam;
- Pada dasarnya penubuhan Pusat ini adalah merupakan salah satu komponen bagi membangun sebuah Negara Zikir dan juga mendokong Wawasan Negara 2035 untuk mempunyai “rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya”.
Dalam penubuhan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah mendapat kerjasama daripada Yayasan Restu, Malaysia. Yayasan Restu adalah sebuah badan bukan kerajaan yang bergiat dalam pengeluaran Al-Quran dan telah melatih ramai penulis khat Al-Quran melalui program-program yang diadakan di Kolej Restu.
Kolej Restu adalah merupakan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi Majaysia. Kolej Restu merupakan sebuah institusi pendidikan yang berteraskan kesenian Islam. Kolej Restu ini tertubuh setelah terlaksananya Projek Al-Quran Mushaf Malaysia yang dikendalikan oleh Yayasan Restu. Melalui projek tersebut, pelbagai bidang pengetahuan dan kemahiran seni Islam khususnya seni khat dan iluminasi Al-Quran telah berjaya diperkembangkan.
Pada 26 Muharram 1434 bersamaan 10 Disember 2012, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani diantara Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Yayasan Restu. MoU ini antara lain mengandungi persetujuan bagi Yayasan menghantar pelajar-pelajar dari Negara Brunei Darussalam untuk mengikuti kursus Diploma Seni Mushaf sepenuh masa selama 2 ½ (dua setengah) tahun di Kolej Restu, Shah Alam Selangor. Melalui MoU ini juga Yayasan Restu bersetuju untuk membantu dan bekerjasama dengan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam menubuhkan sebuah Pusat Kesenian dan Kaligrafi Islam di Negara Brunei Darussalam.
- Pengambilan pertama seramai 3 orang pelajar dari Negara Brunei Darussalam ke Kolej Restu ialah pada 7 November 2012 dengan mengikuti Kursus Diploma Seni Mushaf sepenuh masa selama 2 ½ tahun dan dijangka akan menamatkan pengajian pada bulan Mei 2015. Manakala pengambilan kedua yang akan mengikuti kursus yang sama akan bermula pada bulan Jun 2013 ini dan mereka dijangka akan menamatkan pengajian pada Disember 2015.
- Sebagai langkah awal kearah melaksanakan penubuhan PPKKI-YSHHB, satu Jawatankuasa Penubuhan telah dibentuk dan keahliannya terdiri daripada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan. Beberapa sesi lawatan kerja diantara Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Yayasan Restu telah diadakan dalam menyusun rancangan pelaksanaan PPKKI-YSHHB ini.
Dengan tertubuhnya PPKKI-YSHHB ini, Pusat ini akan menjadi sebuah institusi yang menawarkan program pengajian dalam bidang seni Islam dan kaligrafi dalam mengembangkan pelbagai pengetahuan, kecekapan dan kemahiran seni Islam terutamanya seni mushaf, kaligrafi dan seni hiasan Islam dengan menggunakan aplikasi dan perisian teknologi terkini.
PPKKI-YSHHB ini akan berfungsi sebagai sebuah institusi pusat pengajian dan penyebaran ilmu seni Islam dan akan menjalankan usaha-usaha berikut :
- Menyelenggarakan kursus-kursus pengajian seni Islam khususnya seni mushaf, kaligrafi dan seni hiasan Islam;
- Membuat kajian tentang perkara-perkara yang berhubung dengan ilmu seni Islam;
- Mengusahakan penerbitan dan penyebaran yang berhubung dengan ilmu seni Islam;
- Menyelenggarakan kursus-kursus, bengkel-bengkel, seminar-seminar dan seumpamanya mengenai ilmu seni Islam.
Bagi melaksanakan fungsi dan tugas yang telah ditentukan, secara umumnya PPKKI-YSHHB ini akan mengandungi unit-unit sepert berikut:
- Unit Pengajian Seni Islam
- Unit Penyelidikan dan Kajian
- Unit Penerbitan dan Penyebaran
- Unit Perkembangan dan Latihan
- Unit Pentadbiran






