
"Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengurniakan sabda"
Pada hari Selasa, 26 Jamadilakhir 1434H bersamaan 7 Mei 2013, satu perjumpaan diantara Pengerusi dan Ahli-Ahli Jemaah Tadbir serta Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah diadakan bertempat di Tingkat 4, Dewan Serba Guna Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Berangkat bagi mempengerusikan perjumpaan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Begawan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bermula pada 18 Rabiulakhir 1434H bersamaan 1 Mac 2013.
Aturcara Majlis Perjumpaan ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, Ahli Lembaga Pengarah. Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah seterusnya berkenan mengurniakan sabda di Majlis tersebut.
Dalam sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia telah menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diatas kornia perkenan Baginda bagi perlantikan Yang Teramat Mulia selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Yang Teramat Mulia seterusnya melahirkan rasa syukur kerana berpeluang dapat bersama-sama dengan Ahli-Ahli Jemaah Tadbir dan Lembaga Pengarah untuk menerajui Yayasan ini dan berharap Yayasan akan terus merancang dan melaksanakan beberapa projek dan aktiviti dan bergerak dengan lebih proaktif bagi mempertingkatkan taraf dan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk negara ini dan memantapkan pencapaian Yayasan pada masa akan datang.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik telah menyentuh mengenai dengan usaha mempertingkatkan kualiti kehidupan golongan miskin dan kurang berkemampuan khasnya mengatasi kemiskinan. Dalam hubungan ini Yang Teramat Mulia menyarankan supaya Yayasan bersama-sama rakan strategiknya daripada agensi Kerajaan dan NGOs untuk mengambil pendekatan yang komprehensif dalam menangani masalah kemiskinan di Negara ini.
Yang Teramat Mulia juga menghargai rancangan-rancangan Yayasan dalam bidang ugama dan pendidikan khasnya Program Intervensi Pendidikan yang telah dapat meningkatkan prestasi pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Yang Teramat Mulia juga menyambut baik akan rancangan Yayasan dalam menubuhkan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Januari 2013 lalu. Yang Teramat Mulia berharap Pusat Pengajian ini akan menjadi Pusat Pengajian yang pertama di Negara ini yang melahirkan tenaga pakar dari kalangan belia Islam tempatan dalam bidang seni Islam khususnya seni mushaf, kaligrafi dan seni hiasan Islam.
Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah sebagai wadah amal jariah Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli keluarga Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Hadir di Majlis Perjumpaan ini ialah Timbalan-Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jemaah Tadbir serta Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






