
“Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan (hujung kiri) dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (hujung kanan)”
Seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam telah dikejutkan dengan berita sedih tragedi kemalangan helikopter Bell 212 milik Tentera Udara Diraja Brunei pada hari Jumaat, 20 Julai 2012. Helikopter tersebut yang membawa 14 orang anggota ABDB telah terhempas dan mengorbankan 12 pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sementara dua orang lagi terselamat.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat. Bagi mencapai hasrat simpati Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada keluarga mangsa, Majlis Membaca Surah Yassin, Bertahlil dan Penyampaian Sumbangan kepada Ahli Keluarga Mangsa Kemalangan Helikopter Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diadakan pada hari Jumaat, 27 Julai 2012 Masihi bersamaan 7 Ramadan 1433 Hijrah bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Pada majlis ini, sumbangan Yayasan kepada keluarga mangsa kejadian tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis ini ialah Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Timbalan Menteri Pertahanan; Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan; Pegawai-Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta Pegawai dan Kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






