
"Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan (kiri)"
Sempena Ulangtahun Penubuhan Yayasan Yang Ke-20 Tahun yang bakal menjelang pada bulan Oktober 2012 nanti, salah satu acara yang diadakan bagi menyemarakkan sambutan tersebut adalah bacaan 20 kali Khatam Al-Quran yang diadakan majlis pelancarannya pada petang Jumaat, 12 Jamadilakhir 1433 bersamaan 4 Mei 2012 bertempat di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan. Seterusnya majlis diikuti dengan bacaan Al-Quran satu juz beramai-ramai dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien.
“Seramai 20 orang pembaca Al-Quran terpilih yang terdiri daripada pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah”
Selama 15 minggu, seramai 20 orang pembaca Al-Quran terpilih yang terdiri daripada pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan membacakan Al-Quran dan setiap seorang akan menghabiskan bacaan 30 juz Al-Quran (satu kali khatam). Acara Khatam Al-Quran pula akan diadakan semasa Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulangtahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-20 Tahun pada bulan Oktober 2012 nanti.
Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan; Penolong-Penolong Pengarah Urusan Yayasan; pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan.






