"Bergambar ramai semasa Majlis Penutup Perkhemahan Motivasi"
Perkhemahan Motivasi Program 'Intervention' Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bagi tahun 2012 telah sampai ke penutup setelah diadakan selama 2 hari bermula pada 12 Jun 2012. Perkhemahan yang disertai seramai 60 orang murid itu diharapkan akan dapat menanam semangat yang positif serta membangun seperti beriman, berdisiplin, berkeyakinan, bertanggungjawab dan berwibawa dikalangan para peserta.
Aturcara majlis penutup Perkhemahan Motivasi Program 'Intervention' Pendidikan Yayasan pada pagi Rabu, 23 Rejab 1433H bersamaan 13 Jun 2012 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Ini diikuti dengan Ucapan Alu-Aluan daripada Yang Mulia Awang Haji Mat Zahri bin Haji Yusof, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perkhemahan Motivasi 'Aku Belia Bekarih' Projek Kelas Tuisyen, Program 'Intervention' Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sejurus selepas ucapan alu-aluan ialah Ceramah Motivasi 'Aku Belia Bekarih' yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohd Hatta bin Haji Suhaili, Pegawai Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, selaku Ahli Fasilitator Perkhemahan Motivasi 'Aku Belia Bekarih' Projek Kelas Tuisyen, Program 'Intervention' Pendidikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara kemuncak bagi majlis penutup ini ialah penyampaian hadiah dan sijil penyertaan kepada para peserta dan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada para Penceramah-Penceramah Undangan, Fasilitator dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Perkhemahan Motivasi dari tetamu kehormat majlis iaitu Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir dimajlis penutup perkhemahan ini ialah Pegawai-pegawai Kanan dari Kementerian Pendidikan dan Pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






