
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar ramai dengan penerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Majlis Penganugerahan Biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1433H/2012M telah diadakan pada 24 Syawal 1433H bersamaan 12 September 2012M bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1433H/2012M ini.
Selaras dengan salah satu tujuan penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam bidang pendidikan iaitu bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahunan yang seterusnya akan berperanan terhadap kemajuan dan pembangunan Negara, satu skim biasiswa khas telah disediakan yang dinamakan "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Biasiswa "Sultan's Scholar" adalah merupakan biasiswa yang berprestij dan ia dianugerahkan kepada penuntut-penuntut yang telah dikenalpasti oleh Yayasan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut yang cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang ke peringkat ijazah atau yang sebanding dengannya di institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di luar negara yang dibenarkan oleh Yayasan dan diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Tujuan penyediaan biasiswa "Sultan's Scholar" adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang Ugama, Raja dan Negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penganugerahan biasiswa "Sultan's Scholar" bermula pada tahun 2006 iaitu bagi sesi pengajian tahun 2006/2007.
Pada tahn ini, seramai 5 orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2012/2013. Mereka ialah Awangku Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, Awang Muhd Hazman bin Haji Abu Hassan, Dayang Nurul Hani binti Haji Mohd Tahir, Dayang Liyana Bazilah binti Haji Jamain dan Dayang Durrah Nafeesah binti Haji Idris.
Awangku Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Awang Muhd Hazman bin Haji Abu Hassan adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia bagi melanjutkan pengajian beliau di peringkat 'A' level di Shrewbury School, United Kingdom. Awang Muhd Hazman akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Biomedical Science' di University College London, United Kingdom.
Dayang Nurul Hani binti Haji Mohd Tahir adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Aeronautical Engineering' di Imperial College London, United Kingdom.
Dayang Liyana Bazilah binti Haji Jamain adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia bagi melanjutkan pengajian beliau di peringkat 'A' level di Badminton Girl School, Bristol, United Kingdom. Dayang Liyana Bazilah akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Mathematics & Economics' di University College London, United Kingdom.
Dayang Durrah Nafeesah binti Haji Idris adalah lepasan penuntut Jerudong International School dan penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia bagi melanjutkan pengajian beliau di peringkat 'A' level di Cheltenham Ladies School, United Kingdom. Dayang Durrah Nafeesah akan meneruskan pengajian dalam jurusan 'Geology' di Imperial College London, United Kingdom.
Aturcara Majlis Penganugerahan biasiswa "Sultan's Scholar" dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan menyempurnakan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1433H/2012M kepada kelima-lima penerima.
Setelah penyempurnaan anugerah biasiswa "Sultan's Scholar", bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar ramai dan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa "Sultan's Scholar" dan para ibu-bapa mereka serta para jemputan.
Turut hadir di Majlis ini ialah Pengerusi dan ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Setiausaha-Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, ahli-ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) "Sultan's Scholar" Yayasan, pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai kanan Yayasan, Pengetua-Pengetua dan sebahagian penuntut dari institusi-institusi tingkatan enam diseluruh negara.






