
Majlis dimulakan dengan bacaan 30 juzuk Al-Quran oleh pembaca-pembaca terdiri dari mualim dan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Adalah menjadi satu kelaziman bagi mana-mana pihak kerajaan, sektor swasta, persatuan dan orang perseorangan di negara ini mengadakan majlis-majlis keugamaan sempena bulan Ramadan iaitu bagi menyemarakkan lagi bulan yang penuh keberkatan ini.
Pada hari Rabu, 19 Ramadan 1433H bersamaan 8 Ogos 2012, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan yang juga merupakan salah satu aktiviti tahunan Yayasan.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan 30 juzuk Al-Quran oleh pembaca-pembaca terdiri dari mualim dan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Ini diikuti dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Bertahlil yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Mohamad Hashim
bin Haji Abdullah, mualim dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan seterusnya diselajurkan dengan majlis berbuka puasa.
Majlis selanjutnya diteruskan lagi dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Sheikh Haji Mutiaa Al-Kabbani Mahmud, Guru Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir di majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli-Ahli Jemaah Tadbir dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al Muhtadee Billah Untuk Anak Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.






