
Penyerahan Kerusi Roda kepada Ketua Bithah Haji Perubatan Negara Brunei Darussalam (kiri)
Pada hari Isnin, 29 Syawal 1433H bersamaan 17 September 2012, di satu Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Yayasan telah memberikan sumbangan berupa kerusi roda sebanyak 35 buah untuk kegunaan para jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang memerlukan. Sumbangan ini telah diterima oleh wakil Pemangku Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Kerusi roda sebanyak 35 buah tersebut disumbangkan di tempat-tempat yang telah ditetapkan iaitu 20 buah untuk di Mekah, 10 buah untuk di Madinah dan 5 buah untuk di Arafah/Mina.
Susulan daripada majlis tersebut, pada hari Ahad 14 Zulkaedah 1433H bersamaan 30 September 2012 bertempat di Kawasan Perkarangan Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawarah, sumbangan kerusi roda sebanyak 35 buah tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ketua Bithah Haji Pentadbiran Negara Brunei Darussalam kepada Ketua Bithah Haji Perubatan Negara Brunei Darussalam.
Sumbangan ini diharap akan dapat sama-sama membantu pihak Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi memberikan kemudahan yang sesuai dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang memerlukan.






